suria

Polis Lumpuhkan Sindiket Judi Haram

TEMERLOH: Polis Temerloh melumpuhkan sindiket judi haram dipercayai bergerak aktif sejak enam bulan lepas dengan mengutip pertaruhan bernilai hampir RM6 juta.

Ketua Polis Daerah, ACP Mohd Nor Mansor berkata tiga pekerja sindiket terdiri seorang lelaki dan dua wanita berusia antara 27 hingga 61 tahun berjaya ditahan dalam serbuan ke sebuah rumah di Taman Keramat, Mentakab, dua hari lepas jam 5.15 petang.

"Di rumah tersebut polis merampas beberapa barang termasuk satu set komputer bersama alat pengimbas, dua mesin faksimili, dua modem wifi, empat mesin kalkulator dan 149 helai kertas putih berpetak dengan catatan nombor loteri haram," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata rumah tersebut dijadikan pusat operasi pengumpulan dan pengiraan kertas pertaruhan dari sekitar daerah Temerloh.

"Sindiket tersebut dipercayai sering berpindah tempat untuk mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya. Mohd Nor berkata berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Judi Terbuka 1953 iaitu menjalankan Perjudian Loteri Awam Haram yang boleh didenda tidak kurang RM200,000 dan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun jika sabit kesalahan.

Beliau berkata polis masih mengesan anggota lain sendiket.

Dalam kes berasingan, polis Temerloh merampas sepucuk pistol mainan daripada seorang penagih dadah berusia 32 tahun yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah ugutan.

"Suspek ditahan 11 November lepas pada jam 2 petang di rumahnya di Taman Temerloh Makmur," katanya.

Suspek direman sehingga 15 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki pistol tiruan. -BERNAMA

Artikel Lain