suria

Bunuh Wanita Perancis: Sebutan Semula Kes 12 Disember

KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini Isnin menetapkan 12 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes seorang peniaga yang menghadapi tuduhan membunuh pelancong wanita warga Perancis di Pulau Tioman, beberapa bulan lepas.

Penetapan tarikh itu dibuat Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Rini Triany Muhamad Ali di dalam kamar sementara menunggu serahan laporan kimia dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Bercakap kepada pemberita, peguam Ibrahim Kamaruddin yang mewakili tertuduh, Asni Omar berkata dokumen berkenaan perlu diserahkan kepada mahkamah dan pihak pembelaan sebelum diteruskan dengan perbicaraan pada tarikh yang akan ditetapkan.

Asni, 36, dituduh membunuh Stephanie Foray , 30, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tekek, Pulau Tioman antara pukul 8 malam, 10 Mei hingga 12 tengah hari, 12 Ogos lepas.

Dia yang turut diwakili seorang lagi peguam bela, Muhammad Hisham Abdul Rahim pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pekan pada 23 Ogos lepas dan kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Stephanie dilaporkan hilang pada 8 Mei lepas semasa melancong di Pulau Tioman sebelum polis menemui tulang rangkanya di sebuah gua di pulau berkenaan.

Asni dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khalmizah Salleh. -BERNAMA

Artikel Lain