suria

Malaysia Perlukan Tambahan 8,600 Bilik Hotel Lima Bintang Menjelang 2020

PUTRAJAYA: Malaysia memerlukan tambahan 8,600 bilik hotel lima bintang dan 31,300 bilik hotel empat bintang menjelang 2020, agar sasaran 36 juta pelancong datang ke negara ini dapat dicapai.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata masa ini jumlah bilik hotel seperti itu belum mencukupi kerana kementerian sering menerima aduan mengenai masalah kekurangan tersebut khasnya pada musim puncak.

"Lokasi untuk membina hotel jenis ini bagaimanapun bergantung kepada pengusaha, melihatkan hala tuju pelancongan kerajaan. Sebagai contoh kerajaan kini membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk membina infrastruktur di Langkawi (Kedah), ia memerlukan lebih banyak hotel lima bintang dan empat bintang.

"Di Langkawi, sangat sukar untuk dapat hotel lima bintang dan empat bintang, jadi memang ada keperluan. Kita hanya boleh beri panduan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Laman Web Accor Destinasi Malaysia di sini Selasa.

Beliau berkata inisiatif kerajaan dalam Belanjawan 2012 yang dibentangkan baru-baru ini, termasuk memberikan taraf perintis dengan 70 peratus pengecualian cukai pendapatan atau 60 peratus Cukai Elaun Pelaburan untuk lima tahun bagi pengusaha hotel di Semenanjung yang melabur dalam hotel lima dan empat bintang, diharap dapat membantu mencapai sasaran ini.

Mengenai unjuran pelancong pada tahun depan, Dr Ng berkata ia masih dikaji semula oleh kerana kedatangan untuk tahun ini, yang diramalkan sebanyak 25 juta pelawat terpaksa diubah semula kerana sebab tertentu.

Beliau berkata ini termasuk Pembangunan Wilayah Thailand serta Pembangunan Eropah dan Amerika.

"Pada hakikatnya United Kingdom (UK) mengenakan cukai keluar bagi setiap pelancong yang keluar dari negara itu, juga memberikan kesan negatif kerana ini bergantung pada jaraknya. Lebih dekat anda pergi anda bayar kurang," kata beliau.

Sementara itu, laman web, www.accorhotels.com/malaysia, bertujuan meningkatkan profil Malaysia sebagai sebuah destinasi untuk menimbulkan kesedaran mengenai banyak tarikan dan kawasan di negara ini serta membantu pengembara di seluruh dunia memahami dan menghargai kepelbagaian budaya, rakyat dan tarikan semulajadi yang digambarkan Malaysia.

Ia diwujudkan oleh Accor, pengusaha, peneraju pasaran dan memiliki jenama rangkaian hotel terkemuka di Eropah termasuk Pullman dan Novotel. - BERNAMA

Artikel Lain