suria

Selenggara Kemudahan Awam Secara Telus dan Sistematik

ALOR GAJAH: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung, menyarankan agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyelenggara kemudahan infrastruktur awam secara telus dan sistematik.

Beliau berkata saranan ini dibuat berikutan hasil laporan audit Jabatan Audit Negara mendapati terdapat kegagalan pihak PBT dalam menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur awam.

"Saya merayu kepada semua PBT agar aspek-aspek penyelenggaraan diberi tumpuan dan penekanan khusus bagi memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan di kawasan PBT sentiasa berada dalam keadaan baik dan mengekalkan fungsi kemudahan itu.

"Sebagai contoh kemudahan awam seperti dewan komuniti yang dibina dan didapati tidak dibersihkan dan diselenggara dengan baik secara berkala," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Terminal Bas Alor Gajah, di sini, Ahad yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Negeri Perumahan Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka, Datuk Md Yunos Husin.

Laporan Jabatan Audit Negara mendapati ada infrastruktur awam seperti Stadium Nasional memerlukan kerja-kerja penyelenggaraan segera demi keselamatan dan keselesaan pengguna.

Chor berkata peranan PBT dalam menggalas tanggungjawab untuk mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan adalah penting untuk kepentingan masyarakat.

Sementara itu, sebanyak 496 kamera litar tertutup (CCTV) telah dipasang di kawasan tumpuan orang ramai termasuk perhentian bas di seluruh negara tahun ini dan jumlah yang sama juga akan dipasang tahun depan.

"Pemasangan bergantung kepada permohonan pihak berkuasa termasuk polis, katanya sambil menambah sebanyak 24 CCTV telah dipasang di sekitar Alor Gajah untuk meningkat tahap keselamatan. - BERNAMA

Artikel Lain