suria

Bahasa Melayu Boleh Jadi Pengantar Asean:Ismail Sabri

BERA: Bahasa Melayu boleh menjadi bahasa pengantar di negara Asean kerana ia dituturkan lebih tiga perempat penduduk rantau ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Bahasa Melayu dituturkan secara meluas di Malaysia, Indonesia, Brunei, sebahagian Thailand, Vietnam serta Kemboja.

"Kita berharap pejuang bahasa dapat mempelopor usaha dan memperjuangkan agar Bahasa Melayu dapat dijadikan bahasa rasmi bagi negara Asean," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 peringkat Daerah Bera pada Sabtu.

Ismail Sabri, yang juga Anggota Parlimen Bera, berkata Bahasa Melayu sebelum ini pernah menjadi bahasa dagangan pada zaman kegemilangan Melayu Melaka.

"Bagaimanapun, ini tidaklah bermakna kita mahu mengetepikan Bahasa Inggeris atau bahasa ibunda negara tertentu.

"Ini juga salah satu usaha mendaulatkan lagi Bahasa Melayu di rantau ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri meminta pihak berkuasa tempatan, sekolah, jabatan dan agensi kerajaan mengutamakan Bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi mereka.

"Hanya dengan cara itu sahaja rakyat di negara ini akan menghormati dan menggunakan sepenuhnya Bahasa Melayu dalam pelbagai urusan.

"Sepatutnya, setelah 54 tahun kita merdeka, tidak ada lagi rakyat yang tidak fasih dalam menggunakan Bahasa Melayu di negara ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain