suria

80 Petugas Tabung Haji Berlepas Ke Mekah

PETALING JAYA: Seramai 80 petugas Tabung Haji yang terdiri daripada pasukan perubatan, pembimbing ibadah, kebajikan dan petugas media akan berlepas ke kota Mekah petang Sabtu.

Pengurus Besar Kanan Lembaga Tabung Haji, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, mereka merupakan sebahagian daripada 800 petugas Tabung Haji dari Malaysia yang ditugaskan bagi membantu memastikan kebajikan dan kesihatan bakal jemaah haji negara ini terpelihara semasa menunaikan ibadah haji.

"Ini merupakan penghantaran kedua selepas pasukan pertama seramai 45 orang terdiri daripada petugas teknologi maklumat berlepas pada 21 Sept lepas," katanya kepada pemberita ketika melepaskan petugas haji kumpulan kedua di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya di sini, Sabtu.

Syed Saleh berkata, seramai 800 petugas Tabung Haji akan bertugas kali ini untuk menjaga kebajikan para jemaah dan mereka berangkat ke sana secara berperingkat bermula Rabu lepas.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 250 adalah petugas perubatan membabitkan 79 doktor serta doktor pakar, manakala selebihnya adalah jururawat.

Selain pasukan kesihatan, petugas kali ini juga turut dianggotai kakitangan Tabung Haji, guru-guru agama dari seluruh negara serta wakil daripada Jabatan Pendaftaran Negara di mana 70 peratus daripadanya adalah petugas berpengalaman.

Syed Saleh berkata, penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci untuk menunaikan Rukun Islam kelima bagi tahun ini ialah Khamis ini, melibatkan 450 jemaah yang akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang melalui penerbangan sewa khas haji iaitu pesawat Malaysia Airlines (MAS) dan Saudi Airlines pada hari berkenaan iaitu pada waktu pagi dan tengah hari.

"Mereka adalah sebahagian daripada 28,000 jemaah haji Malaysia yang dibenarkan mengikut kuota yang ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi pada musim haji tahun ini," katanya.

Penerbangan jemaah haji balik ke Malaysia pula dijadual bermula 12 November dan dijangka berakhir 11 Disember. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain