suria

Sayembara Cipta Lagu Puisi Tawar Hadiah RM8 Ribu

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang mempunyai bakat dalam menghasilkan lagu puisi dijemput menyertai pertandingan Sayembara Mencipta Lagu Puisi (SMLP) ke-11 yang menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM8 ribu bagi juara pertandingan itu.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam kenyataan pada Isnin berkata, SMLP akan memilih 10 ciptaan lagu puisi terbaik untuk dipertandingkan ke peringkat akhir SMLP pada Disember depan.

"Pertandingan akan berlangsung di Auditorium DBP itu turut menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM6,000 bagi Naib Johan, RM5,000 bagi tempat ketiga sementara hadiah sagu hati bernilai RM2,000 beserta hadiah iringan dan sijil penyertaan," katanya.

Menurut kenyataan itu, SMLP diadakan bertujuan meneruskan tradisi mencipta lagu puisi sebagaimana matlamat penyebaran karya sastera yang termaktub dalam penubuhan DBP.

"Ia antaranya termasuklah menambah dan meningkatkan nilai puisi melalui penciptaan lagu puisi, memperbanyakkan penciptaan lagu puisi yang bermutu tinggi, memasyarakatkan puisi daripada karya penyair tempatan melalui persembahan lagu puisi yang diiringi oleh kumpulan muzik dan memasyarakatkan sastera dalam pelbagai medium," katanya.

Syarat-syarat penyertaan, peserta mestilah warganegara Malaysia, penyertaan tidak melebihi tiga buah lagu yang dirakamkan dalam bentuk cakera padat (CD), penyertaan disertakan nota lagu dan naskah puisi pilihan asal, puisi yang dipilih bersumberkan buku atau majalah terbitan DBP sahaja, durasi persembahan lagu tidak melebihi lima minit dan merupakan karya asli.

Orang ramai dan komposer yang berminat menyertai SMLP boleh mendapatkan borang penyertaan dengan melayari laman web http://dbp.gov.my. atau hubungi Urus Setia SMLP di talian 03-21482348/3671. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain