suria

CIJ Harap Somalia Dakwa Mereka Yang Bertanggungjawab Terhadap Kematian Noramfaizul

KUALA LUMPUR: Centre for Independent Journalism (CIJ) Malaysia pada Sabtu menyambut baik jaminan kerajaan Somalia untuk menyiasat persekitaran yang menyebabkan jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor terkorban dan berharap keadilan dilaksanakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Dalam perutusan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan Noramfaizul, yang terkena tembakan di Mogadishu semasa bergerak bersama sekumpulan misi bantuan untuk negara yang dilanda kebuluran itu, CIJ turut menggesa pihak berkuasa Malaysia dan penganjur misi sedemikian ke kawasan perbalahan menyatakan langkah-langkah perlindungan yang diambil untuk wartawan yang menyertainya.

"Ini termasuk memberi taklimat keselamatan penuh dan latihan untuk wartawan, serta pakaian keselamatan yang perlu turut membezakan mereka sebagai wartawan atau pemerhati neutral," tambahnya.

CIJ berkata wartawan mesti sedar sepenuhnya keadaan dan risiko menjalankan tugas mereka.

"Dan jika mereka fikir langkah keselamatan tidak mencukupi, mereka berhak menolak tugas seumpama itu tanpa takut menghadapi tindakan disiplin daripada majikan. Wartawan mesti mengambil sesuatu pendirian dan menegakkan hak mendapatkan perlindungan ketika bertugas," tegas CIJ.

CIJ juga menggesa organisasi media Malaysia mempastikan wartawan yang menerima tugasan ke kawasan perbalahan atau zon bahaya adalah mereka yang berpengalaman yang pernah melalui persekitaran berbahaya dan menjalani latihan kesedaran risiko dan mempunyai kelengkapan keselamatan.

Ia berkata media organisasi media mesti memenuhi tanggungjawab mereka kepada petugas dari segi perlindungan asas, seperti perlindungan insuran.

CIJ berkata mereka hendaklah bekerjasama dengan pertubuhan seperti International News Safety Institute untuk membekalkan wartawan dengan latihan dan kelengkapan keselamatan.

Sementara itu, tabung amanah the Rory Peck Trust turut menyampaikan takziah atas kematian Noramfaizul pada Jumaat.

Tabung itu dinamakan bersempena Rory Peck, seorang jurukamera bebas yang terbunuh dalam kejadian tembak menambak di Moscow pada 1995. - BERNAMA

Artikel Lain