suria

Enam Rumah Era Lombong Bijih Timah Musnah Dalam Kebakaran Di Sungai Lembing

KUANTAN: Enam buah rumah era kegemilangan lombong bijih timah di Kampung Baru Seberang, Sungai Lembing dekat sini musnah dalam satu kebakaran, petang Selasa.

Kebakaran yang berlaku pada pukul 5.45 petang itu menyebabkan enam keluarga tinggal sehelai sepinggang.

Seorang mangsa, Loke Ah Lian, 71, berkata ketika kejadian, dia sedang menonton pelbagai program menarik sempena Aidilfitri bersama suaminya sebelum terdengar bunyi letupan pada bahagian atap rumahnya.

Katanya dia tidak mengendahkan bunyi itu kerana menyangka ada kanak-kanak nakal yang bermain mercun pada hari raya dan membalingnya di atas rumahnya.

"Tetapi, selepas itu, televisyen di rumah saya terpadam... asap dan api mula keluar dari atas siling menyebabkan saya bersama suami segera berlari keluar dari rumah sambil menjerit memberitahu jiran yang lain," katanya ketika ditemui di sini, Rabu.

Katanya mereka tidak sempat menyelamatkan harta benda kerana api terlalu marak membakar bahagian siling.

Sementara itu, Anggota Parlimen Paya Besar Datuk Abdul Manan Ismail berkata kebanyakan mangsa merupakan warga emas dan pesara pekerja lombong bijih timah yang tinggal di situ sejak 20 tahun lepas.

Beliau berkata rumah itu sudah berusia lebih 50 tahun, dan dibina oleh syarikat perlombongan ketika era awal kemerdekaan negara.

"Rumah tersebut diperbuat daripada kayu dan asbestos, memang mudah disambar api menyebabkan ia mampu hangus dalam masa singkat, katanya dan menganggarkan kerugian awal berjumlah RM200,000.

Abdul Manan berkata bagi menampung kerugian itu, Kerajaan Negeri Pahang akan menyumbang RM5,000 bagi setiap keluarga dan sebagai bantuan segera, mangsa menerima RM1,000 daripada Pusat Khidmat Parlimen Paya Besar dan Jabatan Kebajikan Masyarakat di samping bantuan selimut dan pakaian.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Lain