suria

Jawi Mahu Cabar Permohonan Pengesahan Nikah Salim Parlan

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada Khamis memohon untuk menjadi responden bagi mencabar ketulenan perkahwinan kedua Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan yang didakwa berlaku di Selatan Thailand.

Permohonan tersebut difailkan pada Khamis, dan dimaklumkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Arik Sanusi Yeop Johari yang bertindak sebagai wakil kepada Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Jawi.

Dengan perkembangan terbaru itu, Salim, 51, yang hadir di mahkamah bersama wanita yang didakwa ditangkap berkhalwat dengannya, Nur Diyana Norslan, 30, memohon agar diberikan masa untuk beliau berbincang dengan peguam syarie yang mewakili mereka.

Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan seterusnya menetapkan 29 September ini untuk mendengar hujahan berhubung permohonan Jawi tersebut.

Pada prosiding itu, peguam syarie yang mewakili Salim dan Nur Diyana turut memaklumkan bahawa Pendakwa Syarie, Jabatan Agama Pulau Pinang (JAIPP) tidak berhasrat untuk meneruskan permohonan menjadi pencelah dalam kes pengesahan nikah itu.

Salim yang merupakan bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Nur Diyana, bekas pembantu peribadinya memfailkan permohonan tersebut pada 21 Jun lalu.

Pada 19 April lalu, pasangan berkenaan masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Pulau Pinang atas tuduhan berkhalwat yang didakwa dilakukan di sebuah hotel mewah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 5 pagi, 16 April lalu di bilik nombor 224, sebuah hotel di Batu Ferringhi, Pulau Pinang.

Salim didakwa mengikut Seksyen 27(a) Enakmen Jenayah Syariah Neheri 1996 manakala pendakwaan terhadap Nur Diyana dibuat mengikut Seksyen 27(b) enakmen yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Salim dan Nur Diyana difahamkan telah berkahwin di luar negara dan akan mendaftarkan pernikahan tersebut dengan pengetahuan isteri pertamanya.

Artikel Lain