suria

Kejadian Tanah Runtuh Di Hulu Langat Berpunca Daripada Aktiviti Manusia - Elizabeth Wong

SHAH ALAM: Kejadian tanah runtuh di Hulu Langat yang mengorbankan 16 orang anak yatim pada 21 Mei lepas dikenal pasti berpunca daripada aktiviti manusia yang menguruskan kawasan itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong.

Beliau berkata antara aktiviti manusia yang menyebabkan kejadian itu adalah cerun potongan yang dibina terlalu curam dan dibiarkan tanpa sebarang kaedah pengukuhan cerun.

"Tambahan pula, tiada zon penampan dan zon penyelenggaraan.

"Meskipun kejadian tanah runtuh adalah kejadian semula jadi, dengan campur tangan manusia, ia berlaku dengan lebih kerap," katanya ketika menjawab pertanyaan Dr Shafie Abu Bakar (PAS-Bangi) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor, Isnin.

Dr Shafie memohon penjelasan mengenai punca kejadian tanah runtuh yang mengorbankan 16 orang anak yatim di Madrasah Al-Hidayah at-Taqwa, Hulu Langat pada 21 Mei lepas.

Wong berkata kerajaan negeri mengambil beberapa langkah memastikan kejadian tanah runtuh tidak berulang di negeri itu, antaranya dengan meningkatkan kesedaran awam khususnya mereka yang duduk berdekatan kawasan cerun mengenai tanggungjawab mereka dalam memantau dan menjaga cerun.

Katanya satu unit cerun ditubuhkan di bawah jabatan kejuruteraan Majlis Perbandaran Kajang yang berfungsi untuk memantau pembangunan di kawasan cerun, berbukit ataupun tanah tinggi di kawasan Hulu Langat.

"Satu unit tindakan juga ditubuhkan untuk menjalankan inventori bagi kawasan pembangunan tanah tinggi di kawasan Hulu Langat," katanya.

Persidangan DUN bersambung Selasa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anwar Tidak Cedera Serius

Artikel Lain