Tiga Maut, Tiga Parah, Kereta Pelajar Bertembung Lori Ais

PASIR MAS: Tiga maut manakala tiga lagi cedera parah apabila sebuah kenderaan bertembung dengan sebuah lori ais di Jalan Kota Baharu-Pasir Mas, dekat sini, Sabtu malam. Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, tiga yang maut merupakan pelajar Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST), sementara tiga lagi yang parah ialah seorang lagi pelajar kolej berkenaan dan pemandu berserta kelindan lori ais itu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Darulnaim, Mohd Nasir Mamat berkata yang maut dikenali sebagai Saiful Jawahil Razali, 19, yang merupakan pemandu kenderaan; Mohd Alif Mohd Suhaimi, 19; dan Sheikh Mohd Farhan, 19.

"Saiful dan Mohd Alif berasal dari Tanah Merah manakala Sheikh Mohd Farhan dari Georgetown, Pulau Pinang.

"Manakala mangsa yang cedera parah ialah pelajar KIST, Azmi Ariffin, 19; pemandu lori, Zabri Husin, 29; dan kelindannya Mohd Azeri Mat Nawi, 24," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, menurut seorang saksi yang enggan mendedahkan identitinya, kemalangan itu berlaku apabila kenderaan Proton Iswara yang dinaiki empat pelajar KIST itu cuba memotong sebuah lori sebelum hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah lori ais dari arah bertentangan.

Mohd Nasir berkata dua jentera bersama sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas dan Kota Baharu terlibat dalam operasi mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit.

Kesemua mangsa yang maut dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Baharu untuk dibedah siasat.

Pelajar KIST yang cedera parah kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, manakala pemandu dan kelindan lori kini dirawat di HRPZ II. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain