suria

Mugabe Pelawa Pelabur Asing Ke Zimbabwe

PUTRAJAYA: Zimbabwe, yang merekodkan pertumbuhan ekonomi 5.9 peratus tahun lepas, mempelawa pelabur asing untuk mengambil bahagian dalam pembangunan negara itu.

Presidennya Robert Mugabe berkata Zimbabwe menawarkan peluang yang tidak terhingga dalam pelbagai bidang seperti pemprosesan-agro, operasi perlombongan, pekilangan, pelancongan, pembangunan infrastruktur dalam penjanaan serta pengagihan tenaga, pembekalan air, rangkaian jalan raya, jalan keretapi, telekomunikasi, serta komunikasi dan maklumat.

"Kami mempelawa pelabur untuk mengambil bahagian dan menambah nilai kepada pembangunan dalam sektor-sektor ini," katanya pada edisi ke sembilan Dialog Antarabangsa Langkawi (LID 2011) di sini Ahad.

Dalam perkembangan lain, Mugabe berkata negara-negara sedang membangun perlu menangani isu pembiayaan inovatif bagi menyokong dan membantu pertumbuhan perusahan kecil dan sederhana, terutama perniagaan-perniagaan kecil di kawasan pedalaman.

"Hari ini hampir 80 peratus penduduk di negara sedang membangun tersisih daripada sektor perkhidmatan kewangan," kata Mugabe.

Beliau berkata sektor swasta seharusnya membangunkan hubungan lebih mendalam di samping mewujudkan perkongsian sesama sendiri, dan juga dengan negara-negara dari Asia, Afrika, Eropah dan Amerika.- BERNAMA

Artikel Lain