suria

Polis Akan Bertindak Jika Perhimpunan Bersih Diteruskan

KUALA LUMPUR: Polis akan menahan mana-mana individu yang merancang untuk menganjur, melibatkan diri atau mencetuskan huru-hara dalam perhimpunan Bersih di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, polis tidak akan meluluskan sebarang permit untuk mana-mana parti.

"Keputusan itu dibuat kerana perhimpunan itu bukan saja mengugat ketenteraman tetapi mencetuskan huru-hara.

"Kami menerima sejumlah 418 laporan polis daripada peniaga, ejen perlancongan dan individu yang membantah perhimpunan itu," katanya kepada pemberita di Akademi Polis, Cheras pada Rabu.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Perkasa turut merancang untuk mengadakan perarakan bagi membantah perhimpunan Bersih itu.

Khalid berkata polis akan mengambil langkah berjaga-jaga termasuk melancarkan gerakan pencegahan sebelum dan ketika perhimpunan diadakan.

Perhimpunan Bersih 2.0 yang digelar sebagai 'Walk for Demokrasi' diadakan bagi menuntut pilihan raya yang bebas dan adil.

Dalam perkembangan berasingan, Khalid berkata, pelindung anggota Jemaah Islamiah (JI), Agus Salim yang berjaya ditangkap polis di Johor Baru baru-baru ini akan diserah kembali ke Sumatra, Indonesia selepas siasatan selesai dilakukan.

"Dia ditahan di bawah Akta Imigresen kerana memasuki Malaysia secara haram," katanya.

Salim yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 2009 selepas disyaki membantu melindungi Mas Selamat, memasuki negara ini menggunakan nama palsu tetapi ditahan pada 6 Jun semasa bekerja di sebuah restoran.

Difahamkan Salim bekerja di restoran sama sebelum ditangkap pada tahun 2009 dan dipercayai ejen pelindung JI membantu anggota kumpulan itu di Malaysia.

JI dituduh bertanggungjawab dalam letupan Bali pada tahun 2002 yang membunuh 202 orang kebanyakannya warga asing.

Artikel Lain