suria

Pegawai TUDM Tarik Balik Tindakan Terhadap Kerajaan

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dihentikan perkhidmatan secara paksa, menarik balik permohonannya agar kerajaan dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana gagal mengambilnya semula untuk berkhidmat.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rohana Yusuf membenarkan permohonan Mejar Fadzil Arshad untuk menarik balik permohonannya itu, yang juga melibatkan Majlis Angkatan Tentera.

Pada 3 Ogos tahun lepas, hakim Rohana membenarkan permohonan oleh Fadzil bagi semakan kehakiman dibuat terhadap kerajaan dan Majlis Angkatan Tentera ekoran keputusan majlis itu menghentikan perkhidmatan pegawai itu. Hakim kemudiannya mendapati bahawa keputusan berkenaan adalah tidak sah.

Beliau mengeluarkan perintah agar kerajaan dan majlis itu mengembalikan Fadzil ke jawatan dan pangkat asalnya serta membayarnya gaji, imbuhan, pelarasan dan bayaran dari 17 Julai 2008.

Bagaimanapun, pada 14 April lepas, kerajaan dan majlis itu mendapat perintah menangguhkan pelaksanaan arahan mahkamah berkenaan sehingga satu rayuan didengar di Mahkamah Rayuan.

Peguam Lt Komander (B) Zalil Mohd Mess, yang mewakili Fadzil, memberitahu pemberita hari ini bahawa jika rayuan itu masih tidak didengar dalam tempoh tiga bulan, beliau akan memohon supaya perintah penangguhan itu dibatalkan, dan akan memfailkan permohonan baru supaya kerajaan dan Majlis Angkatan Tentera dikenakan tindakan kerana menghina mahkamah.

Fadzil, 49, mengemukakan permohonan semakan kehakiman pada 12 Dis 2008, dengan berkata Panglima Angkatan Tentera telah memberitahunya bahawa siasatan Majlis Angkatan Tentera mendapati beliau cuai dalam urusan pembelian peralatan termasuk robot Andros dan pakaian anti bom.

Beliau mengemukakan rayuan tetapi ditolak dengan alasan persaraannya disebabkan oleh pembatalan perkhidmatannya oleh Yang di-Pertuan Agong, tetapi menurutnya, beliau tidak menerima sebarang surat berhubung perkara itu.

Fadzil berkata keputusan Majlis Angkatan Tentera menamatkan perkhidmatannya adalah salah dan tidak sah kerana beliau tidak diberi hak untuk didengar dan tidak diberi sebarang sebab.

Katanya keputusan itu membuat beliau dilihat sebagai seorang penipu yang bersubahat dengan kontraktor dan pegawai atasan untuk menipu kerajaan.- BERNAMA

Artikel Lain