suria

Pemilik Kilang Air Batu Didakwa Rasuah RM20,000 Kepada Pengurus TNB

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik kilang air batu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap pertuduhan memberi rasuah RM20,000 kepada pengurus kanan Tenaga Nasional Berhad (TNB), sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas kesalahan syarikatnya mencuri bekalan elektrik, pada Jun lepas.

Teel Lye Hock, 47, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Rosbiahanin Ariffin.

Mengikut kertas pertuduhan, Teel didakwa memberi rasuah itu kepada Pengurus Kanan Unit Siasatan dan Risikan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Rumaizi Mohd Amin sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas kesalahan mencuri tenaga elektrik yang dilakukan oleh syarikatnya, Syarikat Pacific Tube Ice Sdn Bhd.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran KFC Sungai Wang Plaza, Bangunan Sungai Wang Plaza pada 3 petang, 29 Jun 2010.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), A. Hafiizh Abu Bakar mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya jumlah jaminan RM20,000 yang dicadangkan pendakwaan dikurangkan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Mei ini untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain