suria

Penganjur Untung Besar Jual Beli Anugerah Syarikat

PETALING JAYA: Memenangi satu anugerah bukan satu kejutan lagi kerana ada syarikat yang telah mengetahui lebih awal mengenai kemenangan mereka.

Apa yang menghairankan majlis anugerah ini dilihat telah menjadi satu urusan perniagaan yang menguntungkan apabila syarikat yang memenangi anugerah tersebut diminta menaja atau membeli meja ketika majlis penyampaian hadiah mewah itu berlangsung.

Starprobe menerima maklumat bahawa bentuk tajaan yang diminta adalah dalam bentuk wang tunai antara RM4,000 hingga RM30,000.

Sekiranya pemenang gagal membayar wang tersebut mereka diugut dengan mengatakan akan rugi kepada pesaing-pesaing dalam bidang perniagaan.

Beberapa syarikat mengaku terpaksa membayar wang tersebut sebagai satu pelaburan untuk perniagaan mereka.

Berdasarkan pakar-pakar, menganjurkan majlis sedemikian memerlukan belanja sehingga RM100,000.

Walaupun tajaan itu sepatutnya secara sukarela, sebahagian penerima menyedari bahawa mereka akan pulang dengan tangan kosong jika enggan menaja masjlis berkenaan.

“Syarikat kami ditawarkan pengiktirafan yang terkenal tetapi wakil yang datang memberitahu secara jelas meminta tajaan sebanyak RM15,000.

“Dia kata jika kami tak terima, pesaing terkuat kami akan dapat anugerah itu,” kata sumber sambil menambah syarikat itu akhirnya menerima anugerah berkenaan walaupun dari sudut moralnya ia adalah salah.

Katanya lagi, bagi syarikatnya ia adalah pelaburan atau jika tidak pesaing akan memperoleh keuntungan.

Sehubungan itu, banyak pihak bimbang sekiranya perkara tersebut berterusan akan menyebabkan daya saing negara menurun serta mengelirukan orang ramai.

Mereka mahu satu kaedah yang lebih terbuka digunakan dalam memilih pemenang untuk setiap anugerah yang diberikan.

Mereka turut menggesa semua pihak bekerjasama dalam menghapuskan anugerah sedemikian.

Artikel Sebelum

Artikel Lain