suria

Permintaaan Parti Komponen Pegang Jawatan Kabinet Negeri, Dipertimbang - Musa Aman

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah akan memberi pertimbangan sewajarnya kepada semua parti komponennya untuk memegang jawatan dalam kabinet negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Katanya permintaan setiap parti komponen agar anggotanya diberi peluang memegang sesuatu jawatan merupakan perkara biasa yang berlaku.

"Kita akan mempertimbangkannya (permintaan jawatan) dengan sewajarnya dan mengikut semangat BN," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Jabatan Ketua Menteri dan Kementerian Kewangan Negeri di sini, Isnin.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Liew Vui Keong semalam yang mahukan Musa melakukan tindakan adil dan munasabah dalam menangani masalah berhubung pengekalan Datuk Peter Pang En Yin sebagai menteri kabinet negeri dan kekosongan jawatan timbalan ketua menteri.

Sebelum ini, kedua-dua jawatan tersebut diperuntukkan kepada LDP sehingga Pang meninggalkan parti itu dan memohon menyertai Parti Gerakan minggu lalu. Musa yang juga Pengerusi BN Negeri, berkata beliau akan berbincang dengan semua parti komponen pada bila-bila masa mengikut keperluan sekiranya terdapat perkara penting yang memerlukan penyelesaian bersama.

Dalam perkembangan lain, Musa berkata beliau akan mengetuai rombongan B NNegeri ke Sarawak jika diperlukan untuk membantu BN Sarawak memenangi pilihan raya negeri itu.

"Selalunya kita akan pergi untuk menolong. Pada masa lalu pun kita pergi menolong agar calon-calon BN mendapat kejayaan yang besar," katanya.

Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan hari ini untuk membolehkan pilihan raya negeri ke-10 diadakan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain