suria

Apa selepas ini...

Apa selepas ini...

KINI setelah Hosni Mubarak meninggalkan kerusi presiden, pertanyaan yang ingin diketahui oleh semua ialah apakah langkah seterusnya untuk Mesir.

Untuk selama 30 tahun, rakyat Mesir tidak pernah melihat atau menyaksikan kepimpinan lain menerajui negara mereka melainkan Hosni Mubarak. Beliau bagaikan jelmaan seorang Firaun di era moden.

Inilah yang dikhuatiri oleh sebilangan besar rakyat negara itu dan juga para cerdik pandai Mesir yang berada di dalam atau di luar negara iaitu siapakah yang bakal dan layak diberi mandat memerintah Mesir selepas Hosni Mubarak.

Selepas pemerintahan beraja digulingkan pada tahun 1952, Mesir diperintah secara autoritarian oleh kepimpinan tentera. Dari Presiden Gamal Naseer, Anwar Sadat dan selepas itu Hosni, kesemuanya adalah jeneral tentera.

Dan Mubarak juga sejurus sebelum melepaskan kerusi presiden telah membuat keputusan bukan untuk menyerahkan kuasa kepada naibnya yang baru dilantik, Omar Suleiman (yang juga merupakan bekas ketua perisikan tentera Mesir) tetapi menyerahkan kuasa pemerintahan negara kepada Majlis Tertinggi Angkatan Tentera Mesir.

“Presiden Mohammed Hosni Mubarak telah memutuskan untuk menyerahkan tugas mentadbir negara kepada Majlis Tertinggi Angkatan Tentera,” kata Omar dalam siaran secara langsung yang dipancarkan ke seluruh negara pada Jumaat malam.

Tidak syak lagi, kuasa negara itu kini di tangan Field Marshal Mohammed Hussein Tantawi, pengerusi majlis berkenaan yang juga merupakan sekutu rapat Hosni.

Omar dalam ucapan pengumumannya kepada seluruh rakyat Mesir tidak pula menyatakan kuasa mentadbir yang diserahkan kepada Mohammed Hussein Tantawi yang kini berusia 75 tahun adalah untuk berapa lama.

Tidak juga disebut apakah kuasa ini bersifat sementara sehingga rakyat diberi mandat untuk memilih seorang presiden baru secara demokratik.

Omar juga tidak memaklumkan tentang kedudukannya sama ada beliau akan turut melepaskan jawatan naib presiden atau sama ada beliau masih memiliki saki baki kuasa mentadbir dari sudut perlembagaan negara itu.

Pertanyaan seterusnya yang setakat ini belum tertanya atau mungkin juga terjawab kerana rakyat Mesir terlalu gembira dan asyik dengan kejayaan luar biasa mereka menjatuhkan seorang diktator dalam tempoh 18 hari selepas demo pertama dilancarkan ialah, bagaimanakah dengan nasib Hosni Mubarak.

Hosni, 82, telah bersumpah yang beliau tidak akan melarikan diri dari bumi Mesir.

Hanya beberapa hari yang lalu ketika beliau menyerahkan mandat memerintah kepada Omar (tanpa melepaskan jawatan presiden), beliau telah menyatakan pendirian yang jelas kepada parti dan penyokong-penyokongnya yang beliau mahu mati di buminya sendiri.

Malangnya langkah tersebut disambut oleh rakyat Mesir yang menunjuk perasaan di Medan Tahrir dengan kasut.

Jadi di manakah Hosni sekarang? Sehingga Sabtu, beliau berada di bandar peranginan Sharm el-Sheikh di tepi Laut Merah.

Tidaklah diketahui bagaimana Hosni berjaya meloloskan diri dari kediaman presiden di Kaherah tetapi logik mengatakan sudah pastinya beliau diterbangkan dengan helikopter ke bandar berkenaan oleh pasukan tentera.

Juga tidak diketahui akan nasib yang bakal menimpa dua orang anak lelaki Hosni yang selama ini cuba ditunjukkan sebagai penganti dirinya.

Sebagai bekas jeneral dan bekas presiden, Hosni masih memperolehi taat setia yang tidak berbelah bagi daripada angkatan bersenjata Mesir.

Untuk seketika, beliau akan mendapat perlindungan daripada tentera Mesir. Mungkin itu juga menjawab persoalan mengapa beliau menyerahkan kuasa mentadbir ke tangan Majlis Tertinggi Angkatan Tentera dan bukannya ke tangan rakyat.

Untuk seketika, tentera Mesir kini akan memainkan peranan bukan sahaja sebagai pentadbir dan pelindung keselamatan negara berkenaan tetapi juga sudah pastinya sebagai perantara dengan rakyat.

Walaupun mereka memegang senjata tetapi dalam situasi sekarang, adalah mustahil mereka akan mengacukan muncung senapang ke arah rakyat yang sedang bangun dan bangkit menuntut kebebasan dan hak yang selama ini terpasung dan tidak pernah mereka kecapi.

Rakyat pula, apabila mereka bangun dari lena dibuai mimpi indah menjatuhkan seorang pemimpin paling berkuasa di bumi Arab menerusi perarakan jalanan, akan mula tercari-cari di kalangan mereka sendiri, siapakah yang paling layak diketengahkan sebagai bakal presiden.

Apakah pemimpin itu dari kalangan Ikhwan Muslimin yang sejak era Hassan Al-Banna lagi menjadi idola dan ikuti generasi muda gerakan Islam di seluruh dunia?

Apakah bakal presiden baru nanti dari kalangan pemimpin parti pembangkang seperti Mohamed El-Baradei yang tidak pernah memimpin sebuah organisasi yang mentadbir negara?

Apakah tentera akan menyokong siapa yang dipilih oleh rakyat dan menjadi tonggak yang menegak dan mempertahankan demokrasi yang baru dijulang di bumi Mesir itu?

Bagaimana pula dengan Amerika dan sekutunya Israel yang merupakan jiran sempadan Mesir? Selama ini Amerika melindungi dan memberi sokongan kepada regim Hosni kerana khuatir kuasa jatuh ke tangan Ikhwan Muslimin yang mungkin tidak pro mereka atau Israel. Tetapi sekarang bagaimana?

Dan yang paling utama, bagaimanakah dan dengan siapakah pihak tentera akan duduk berunding untuk mencaturkan langkah seterusnya.

Di Pakistan serta Afghanistan pula...

Di kedua-dua buah negara ini, pergolakan juga sedang berlaku tetapi dalam bentuk yang berlainan. Mereka membunuh sesama sendiri atas nama dendam dan darah.

Khamis lalu di bandar Mardan, Pakistan seorang remaja telah meletupkan dirinya ketika majlis kawad tamat kursus latihan ketenteraan sekaligus mengorbankan 31 rekrut dalam apa yang disifatkan sebagai serangan berani mati paling besar di negara itu sejak Disember tahun lalu.

Puak Taliban dengan segera mengakui bertanggungjawab ke atas serangan itu yang mereka sifatkan sebagai tindakan membalas dendam serangan balas Amerika Syarikat ke atas beberapa kawasan persembunyian puak berkenaan baru-baru ini.

Remaja berkenaan dikatakan memakai pakaian seragam sekolah ketika dia meletupkan dirinya. Mardan terletak lebih kurang 30 kilometer dari pusat pentadbiran kerajaan pusat, Peshawar.

Pada 25 Disember tahun lalu, seorang wanita yang berpakaian burqa telah meletupkan dirinya di kawasan yang padat berhampiran kawasan pembahagian bekalan makanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Bajaur membunuh 43 orang awam.

Sejak Julai 2007, Pakistan boleh dikatakan diancam oleh serangan berani mati puak Taliban dan Al-Qaeda yang telah menyaksikan lebih 4,000 orang terbunuh.

Dengan kerajaan pusat yang lemah, Pakistan kini berada di bawah tekanan untuk menghapuskan sel-sel pergerakan Taliban dan rangkaian Al-Qaeda yang bersembunyi dan bergerak di bawah tanah dan kawasan pergunungan.

Dan di Afghanistan, seorang lagi pengebom berani mati meletupkan diri dan mengorbankan seorang gabenor di daerah utara negara itu serta dua yang lain juga Khamis lalu.

Gabenor Daerah Chardara, di wilayah Kunduz, Abdul Wahid Omerkhail, terbunuh bersama-sama dua orang pegawainya. Pengebom berani mati tersebut memasuki pejabat Abdul Wahid, lalu menghulurkan sepucuk surat dan selepas itu terus meletupkan dirinya di hadapan gabenor.

Di Afghanistan dan Pakistan, khabarnya bom meletup setiap hari hinggakan, sejurus selepas letupan berlaku, orang ramai mundar-mandir seperti biasa seolah-olah tiada apa yang berlaku. Minta dihindarkan malapetaka ini di negara kita.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain