suria

Polis Tahan Remaja Anggota Kumpulan 24

BALIK PULAU: Polis menahan seorang remaja lelaki dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap yang aktif dalam kegiatan peras ugut sekitar Batu Maung dan Bayan Lepas, di sini, awal pagi Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya Deputi Supritendan Lai Fah Hin berkata remaja berusia 16 tahun itu ditahan di Batu Maung kira-kira pukul 2.30 pagi selepas seorang peniaga membuat laporan polis berhubung kegiatannya.

Beliau berkata peniaga berumur 19 tahun itu didatangi remaja terbabit yang meminta dia membayar RM500 sebagai wang perlindungan dan disebabkan bimbang mengenai keselamatannya, dia membuat laporan polis," katanya pada satu persidangan akhbar di sini, Khamis.

Katanya remaja yang dipercayai anggota kumpulan 24 itu dipercayai turut mengedar risalah kepada para peniaga di sekitar Batu Maung dan Bayan Lepas untuk meminta wang perlindungan dan memberi amaran akan bertindak ganas sekiranya gagal mendapat habuan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan anggota kumpulan itu untuk membendung kegiatan mereka yang semakin aktif menjalankan kegiatan peras ugut di Pulau Pinang," katanya.

Lai berkata remaja yang berasal dari Batu Maung itu kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan peras ugut, dan menurutnya Kumpulan 24 itu dipercayai ditubuhkan sejak tahun 80an lagi. - BERNAMA

Artikel Lain