suria

Jabatan Perikanan Perak Tahan Enam Nelayan Asing, Tiga Bot

LUMUT: Jabatan Perikanan Negeri Perak menahan enam nelayan warganegara asing dan tiga buah bot pukat tunda dalam 'Operasi Periksa' di sini, Selasa.

Ketua Pangkalan Utama, Cawangan Perlindungan Sumber (CPS), Jabatan Perikanan Negeri Perak Inwi Eh Kliyau berkata ketiga-tiga bot dan nelayan tersebut ditahan oleh sepasukan empat anggota yang menaiki bot laju PL 93.

"Enam nelayan asing warga negara Myanmar itu ditahan atas kesalahan bekerja di atas bot ikan tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata ketiga-tiga bot tersebut ditahan selepas melakukan kesalahan menangkap ikan kurang daripada lima batu nautika dari pantai Tanjung Batu, Segari, dekat sini.

Katanya bot pukat tunda pertama berpangkalan di Pantai Remis bersama dua warga Myanmar itu ditahan kira-kira jam 4.20 pagi kira-kira 0.3 batu nautika dari pantai Tanjung Batu, Segari.

Inwi berkata lima minit kemudian, anggotanya menahan sebuah lagi bot pukat tunda dan dua nelayan Myanmar kira-kira 1 batu nautika dari pantai berkenaan.

"Pada 4.30 pagi pula, sebuah lagi bot yang dinaiki dua warga Myanmar dikesan sebelum ditahan kira-kira 0.2 batu nautika dari tempat yang sama," katanya.

Beliau berkata ketiga-tiga bot dan nelayan berumur antara 20 dan 40 tahun itu kemudian dibawa ke Pangkalan Utama CPS, Jabatan Perikanan Kampung Acheh untuk tindakan lanjut.

Selain menangkap ikan kurang daripada 12 batu nautika dari pantai, pemilik bot berkenaan turut melakukan kesalahan menggunakan nelayan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia iaitu melanggar syarat lesen mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain