suria

Pelaksanaan Berterusan Projek Luar Bandar - Shafie

KUALA LUMPUR: Kerajaan terus meningkatkan kemudahan asas di luar bandar menerusi pelbagai inisiatif untuk membasmi kemiskinan dengan berjaya mengurangkan kadar kemiskinan dari hampir 50 peratus kepada 3.6 peratus sehingga kini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata usaha yang berterusan itu membuktikan ia bukannya sekadar janji kosong kerajaan kepada rakyat, malahan sejajar dengan matlamat pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) menerusi pelbagai program yang bersifat komprehensif.

"Dalam pada itu, kementerian yang turut terlibat dalam agenda pembasmian kemiskinan ini juga memainkan peranan yang cukup penting dalam membangunkan prasarana asas seperti kemudahan jalan raya, elektrik dan air di kawasan luar bandar yang diteruskan secara holistik dan menyeluruh," katanya menjawab soalan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Khamis.

Bung Moktar mahu mengetahui tentang sejauh mana pencapaian NKRA kerajaan terutama dalam memastikan penyelesaian isu kemiskinan dan pembangunan seimbang di kalangan masyarakat luar bandar.

Mohd Shafie berkata agenda pembasmian kemiskinan itu melibatkan pelaksanaan projek-projek Agropolitan, saluran pendidikan di peringkat rendah dan menengah, pembinaan tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan penajaan pelajar dalam dan luar negara menerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta program peningkatan pendapatan orang kampung di bawah seliaan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

"Projek Agropolitan di Kuala Lipis, Pahang sebagai contoh telah membuktikan sekiranya dahulu, para peserta hanya mendapat pendapatan sekitar RM500 sebulan dengan bercucuk tanam.

"Namun selepas terlibat dengan penanaman nanas dan getah, para peserta Agropolitan telah berjaya meningkatkan pendapatan mereka sekitar RM1,700 kepada RM2,500 sebulan dan peserta diberi saham bagi tanaman yang membolehkan mereka menerima dividen tahunan jika projek itu memberi keuntungan," katanya.

Beliau berkata kementerian juga sedang melaksanakan empat lagi projek agropolitan di kawasan baru melibatkan 10,000 peserta yang memberi fokus kepada pembangunan ekonomi, prasarana fizikal dan pembangunan manusia di Batang Lupar serta Batang Sadong di Sarawak, Gana di Sabah dan Chemomoi di Pahang.

Selain program Agropolitan, katanya, kementerian juga menganjurkan pelbagai program keusahawanan menerusi agensi MARA di mana kumpulan sasar itu disenaraikan dalam e-kasih iaitu satu pangkalan data bersepadu mengenai golongan miskin yang diselenggarakan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri sejak 2007.

Menerusi medium pendidikan, beliau berkata 70 peratus daripada 30,345 pelajar sedia ada di MRSM di seluruh negara merupakan pelajar luar bandar daripada keluarga miskin, seramai 53,000 pelajar sedang ditaja oleh MARA manakala 46,000 pelajar dalam negeri dan 7,000 pelajar di luar negara adalah terdiri daripada anak-anak luar bandar. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain