suria

Nelayan Kawasan Dikesan Dalang Utama Seleweng Diesel

IPOH: Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dikesan menjadi dalang utama dalam kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi kepada nelayan sehingga mengakibatkan kerugian bernilai jutaan ringgit kepada kerajaan.

Pengarah Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd Jamidan Abdullah berkata selain PNK, pengusaha jeti, pemilik bot, pemilik tangki haram dan individu yang memiliki depot juga menjadi ejen perantara sehingga mewujudkan rangkaian sindiket penyelewengan diesel bersubsidi yang berleluasa sejak beberapa tahun lalu.

Kegiatan penyelewengan itu berjaya dibongkar hasil risikan sepanjang lima bulan membabitkan 80 anggota serta pegawai SPRM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Operasi khas itu membabitkan empat negeri iaitu Perak, Pahang, Perlis serta Kedah, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama pegawai dan anggota KPDNKK berjaya menangkap 27 individu serta menyita 414,000 liter diesel bernilai lebih setengah juta ringgit dalam operasi khas dikenali 'Ops Nano' yang bermula Jun lalu.

Dalam tempoh operasi sama, SPRM juga menerima kes rasuah membabitkan nilai suapan berjumlah RM80,000 dan hasil risikan yang dijalankan didapati sindiket itu didalangi individu tidak bertanggungjawab terutama anggota PNK, katanya.

Katanya, individu yang terbabit secara langsung dalam pengagihan bekalan diesel bersubsidi sehingga memberi kesan kepada nelayan yang sepatutnya menerima faedah daripada bekalan bahan bakar itu.

Mengikut pecahan tangkapan ialah 19 di Perak termasuk lapan ejen PNK, lima di Pahang, dua di Kedah dan seorang di Perlis. Kesemua mereka terdiri daripada ejen PNK, pengusaha jeti, 'orang tengah' dan pemandu lori," katanya.

Mohd Jamidan berkata, hasil siasatan dijalankan, ketirisan diesel itu berlaku bermula dari depoh kerajaan yang menjual bekalan bahan bakar itu kepada PNK, kilang, kawasan sempadan dan tangki simpanan bekalan.

Bermula daripada ejen PNK, bekalan itu akan dijual kepada tangki simpanan bekalan dan bot nelayan yang kemudiannya menjual semula kepada peraih, kapal tangki, bot nelayan asing, kilang atau ke sempadan, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain