suria

Perasaan Bimbang Kemungkinan Jadi Mangsa Jenayah Kini Berkurangan - Kajian TNS

KUALA LUMPUR: Kebimbangan rakyat Malaysia terhadap kemungkinan menjadi mangsa jenayah kini berkurangan, kata kajian oleh TNS Research International, sebuah kumpulan penyelidikan pasaran antarabangsa.

Kebimbangan menjadi mangsa jenayah kekerasan seperti bunuh, rogol dan rompak serta jenayah harta benda seperti samun dan curi kenderaan, di kalangan rakyat Malaysia menurun dari 58.5 peratus pada Disember lepas kepada 55.1 peratus pada Mei tahun ini, kata pengarah urusan TNS Research International Yazid Jamian.

"Penurunan 3.4 peratus dalam tempoh yang singkat itu adalah signifikan dengan 95 peratus kadar keyakinan. Ia menunjukkan peningkatan yang baik kerana menandakan rakyat Malaysia kini tidak lagi bimbang kemungkinan menjadi mangsa jenayah," katanya dalam kenyataan di sini Khamis.

Survei itu dibuat bagi mengukur keberkesananan Program Hala Tuju Transformasi Kerajaan (GTP) dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mengurangkan jenayah sejak inisiatif itu dimulakan akhir tahun lepas.

Beliau berkata kajian itu melibatkan 1,200 responden berumur 18 tahun ke atas di kawasan bandar dan luar bandar.

"Ia dilakukan secara bersemuka melalui temubual selama 30 minit dan soalan yang ditanya berdasarkan kebimbangan mereka terhadap pelbagai bentuk jenayah yang mungkin berlaku terhadap mereka atau anggota keluarga mereka.

"Kajian itu dibuat khusus bagi mengukur sama ada inisiatif di bawah NKRA bagi mengurangkan jenayah dirasai sepenuhnya oleh rakyat," katanya.

Dalam kajian berasingan, Yazid berkata perasaan puas hati rakyat Malaysia terhadap khidmat yang diberikan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga meningkat dari 35.8 peratus pada Disember tahun lepas kepada 42.2 peratus pada Mei tahun ini. Dalam survei itu, pihaknya menggunakan sampel 607 responden dengan minima 150 responden untuk setiap lokasi 'panas' di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor. - BERNAMA

Artikel Lain