suria

Malaysia Cadang Kaji Semula Dasar Pandang Ke Timur

KUALA LUMPUR: Malaysia bercadang mengkaji dan menyegarkan semula Dasar Pandang ke Timur sebagai sebahagian daripada usaha mencapai status negara berpendapatan tinggi dan meningkatkan hubungan dengan negara-negara di rantau itu.

Ketua Setiuasaha Kementerian Luar Datuk Mohd Radzi Abdul Rahman berkata langkah kerajaan untuk mencapai status berkenaan telah mendapat sokongan baik dari negara-negara lain termasuk kerajaan Korea Selatan.

"Kerajaan Korea telah menghulurkan sokongan yang amat diperlukan dan bantuan termasuk sokongan kewangan dan tempat untuk pelajar Malaysia mengikuti program latihan perindustrian dan teknoloji," katanya dalam ucaptama pada Kolokium Cendekiawan sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-Korea Selatan di sini, Isnin.

Katanya tumpuan penghantaran pelajar Malaysia bagi mengikuti kursus asas kejuruteraan di Korea harus diperluaskan termasuk kursus robotik sains nuklear dan pengkhususan lain.

Mohd Radzi berkata adalah penting untuk menghantar pelajar cemerlang untuk mengikuti pengajian tinggi dalam bidang sains kerana Korea Selatan merupakan antara negara utama dalam bidang penyelidikan.

Sejak Dasar Pandang Ke Timur diperkenalkan pada 1982, seramai 887 rakyat Malaysia telah dilatih sebagai jurutera di Korea Selatan dan ramai telah memperoleh pekerjaan dengan syatikat multinasional negara itu.

Mohd Radzi berkata dasar itu memudahkan pembabibitan syarikat Korea dalam projek pembangunan infrastruktur Malaysia seperti Jambatan Pulau Pinang dan Menara Kembar Petronas.

Katanya jumlah dagangan antara kedua-dua negara dari Januari hingga Mei tahun ini bernilai US$6.6 bilion (RM20.4 bilion), iaitu pertumbuhan 46 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

"Korea Selatan adalah antara 10 negara utama dalam pelaburan asing di Malaysia," katanya.

Selain bidang perdagangan, Mohd Radzi juga berkata Malaysia boleh menerokai kerjasama dalam bidang pendidikan dengan negara itu. - BERNAMA

Artikel Lain