suria

Giatkan Penyelidikan Perkukuh Hubungan Negara Arab, Islam

KUALA LUMPUR: Parti-parti politik negara-negara Arab dan Islam perlu mengadakan lebih banyak penyelidikan bagi memperkukuhkan hubungan antara kalangan negara itu bagi menghadapi cabaran-cabaran globalisasi, kata Ketua Pusat Latihan Akademi Parti Sosialis Baath Arab Syria, Dr Ali Diab.

Beliau berkata penyelidikan sedemikian amat kritikal bagi mencapai kerjasama kukuh dalam bidang politik, ekonomi, media dan budaya.

"Kita seharusnya bersama-sama segera mengintegrasikan usahasama ini untuk menghadapi cabaran globalisasi dan mencapai keadilan dan kesaksamaan di dunia kerana ekonomi antarabangsa, perikatan dan blok politik merupakan alat paling sesuai bagi kemajuan dan kemakmuran.

"Jika negara-negara Arab dan Islam mahu mempunyai kedudukan, prestij dan pengaruh dalam era globalisasi media, institusi-institusi di negara Arab dan Islam perlu digerakkan bagi menggalakkan kesatupaduan dalam menghadapi ancaman dominasi media global yang digunakan oleh Barat," katanya. Beliau berkata demikian semasa perbincangan pamel mengenai "Media Baru dan Pembentukan Masyarakat Global" pada forum antarabangsa "Pembentukan Warga Global : Liberalisasi Media dan Realiti Baru Politik" di sini, Isnin.

Bagi melaksanakan perkara itu, beliau menyatakan langkah-langkah berkenaan termasuklah mengkaji semua kurikulum pendidikan, budaya dan media, membasmi buta huruf sebagai persediaan warga kosmopolitan berikutan penyiaran salah maklumat oleh media.

Seorang lagi anggota panel, Anggota Parlimen Zimbabwe Senator Monica Mutsvangwa berkata media memainkan peranan utama dalam pembentukan masyarakat global.

Peristiwa-peristiwa, tidak kira di mana ia berlaku, akan disebarkan kepada sejumlah besar manusia di seluruh dunia dan ramai orang akan memberi respons dan bertindak, katanya.

Beliau berkata kemunculan media baru telah mengubah sistem maklumat sosial dan menimbulkan kedua-dua cabaran dan peluang kepada media untuk merencanakan parti dan kerajaan.

"Contohnya seperti pencerobohan jaringan, kelucahan dan maklumat tidak bertapis yang mengganggu-gugat kesihatan mental dan fizikal, penyebaran khabar angin sehingga mencemarkan hak individu dan reputasi seseorang," katanya.

Penolong Setiausaha Wanita Barisan NasionalDatuk Raja Ropiaah Raja Abdullah berkata Malaysia mengikuti model transfomasi globalisasi dengan mengambil apa yang baik untuk negara dan pada masa sama bergerak aktif mempengaruhi proses globalisasi.

"Dalam kata lain, kami tidak mengikuti (proses globalisasi) secara membabi buta. Malaysia mempunyai acuan tersendiri, yang disesuaikan dengan keperluan rakyat," katanya.

Raja Ropiaah berkata dengan menjadi masyarakat global, ia tidak seharusnya menghilangkan identiti sesebuah negara.

"Dengan maklumat dan pengetahuan yang kami ada, kami boleh melakukan perbandingan apa yang baik dan buruk dalam setiap negara dan dengan media baru, kami juga berupaya untuk menggalakkan dan menangani isu-isu negatif yang timbul," katanya.

Forum dua hari itu, dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dihadiri 63 wakil parti politik daripada 22 negara, Kelab Umno Luar Negara (KULN), delagasi perwakilan asing dan penganalisis politik.

Ia diadakan sempena Perhimpunan Agung Umno ke-61. - BERNAMA

Artikel Lain