suria

Bajet 2011 Belanjawan Berhemat, Kata Awang Adek

KUALA LUMPUR: Bajet 2011 disifatkan sebagai satu belanjawan berhemat kerana ia memberi penekanan yang lebih terhadap pelaburan swasta serta projek-projek yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein.

"Saya fikir ini adalah satu kebijaksanaan bagaimana kita boleh mengurus kewangan dan pada masa yang sama kita juga mengenalpasti pelaburan swasta," kata beliau kepada pemberita selepas pembentangan Bajet 2011, Jumaat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat di sini.

Awang Adek yang menyifatkan bajet kali ini sebagai satu belanjawan yang mengambil kira kesusahan rakyat berkata beliau yakin bajet 2011 akan diterima rakyat kerana mempunyai keseimbangan yang cukup baik dan memberi tumpuan terhadap pembangunan luar bandar. Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata keputusan kerajaan untuk tidak menaikan kadar tol lebuh raya Plus tidak memberi sebarang implikasi kewangan kepada syarikat konsesi tersebut. "Saya rasa rundingan telah dibuat dengan pihak konsesi tersebut yang mana, diutamakan sekarang ialah usaha untuk mengawal kenaikan kos sara hidup rakyat," kata beliau.

Beliau percaya pengumuman tersebut dipertimbangkan menerusi maklum balas yang diterima oleh Perdana Menteri melalui pelbagai forum serta blognya sebelum bajet dibentangkan.

Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa kadar tol di empat lebuhraya milik Plus Expressway Bhd tidak akan dinaikkan bagi tempoh lima tahun akan datang berkuat kuasa serta-merta. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain