suria

Pistol, 11 Peluru Hidup Ditemui Dalam Beg Penumpang Bas

SANDAKAN: Sepucuk pistol dipercayai buatan sendiri dan sebelas peluru hidup dijumpai di dalam sebuah beg pakaian yang ditinggalkan di dalam sebuah bas ekspres sejak dua minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Rosli Mohd Isa berkata seorang kakitangan yang bertugas di pondok syarikat bas ekspres itu di Batu 2 Jalan Utara sini membuka beg pakaian itu pada pukul 1.30 petang semalam selepas meragui kandungannya.

Katanya beg berkenaan dipercayai dibawa oleh seorang lelaki yang menaiki bas ekspres itu dari Kota Kinabalu-Sandakan dan tidak mengambil beg itu apabila tiba di sini.

Beliau berkata setelah dua minggu tiada individu menuntut beg pakaian itu, pemilik syarikat bas ekspres berkenaan mengarahkan kakitangannya membuka beg tersebut.

"Apabila dibuka, selain terdapat beberapa helai pakaian, sebuah beg getah juga dijumpai yang mengandungi sepucuk pistol buatan sendiri seperti revolver .38 dengan enam butir peluru berada di dalam pistol itu dan lima lagi di dalam sebuah kotak rokok," katanya di sini, Rabu.

Rosli berkata polis masih menjalankan siasatan termasuk dengan kerjasama syarikat bas ekspres berkenaan bagi mengenal pasti identiti lelaki yang membawa beg pakaian itu.

Katanya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi 1960. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain