suria

KWSP Gesa Majikan Guna Perbankan Internet Untuk Bayar Caruman

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berharap lebih ramai majikan yang mempunyai 20 atau lebih pekerja membayar caruman KWSP dan penyerahan Borang A melalui perbankan internet bagi meningkatkan ketepatan transaksi.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Nik Affendi Jaafar berkata membuat bayaran melalui perbankan internet bukan sahaja mudah dan terjamin tetapi majikan juga boleh menjimatkan kos kerana tidak perlu pergi ke pejabat KWSP. "Setakat ini, hanya 9 peratus daripada jumlah majikan yang membuat bayaran caruman dan mengemukakan Borang A secara elektronik sama ada melalui CD, disket atau internet," katanya.

Nik Affendi juga berkata penggunaan media elektronik oleh majikan merujuk kepada penyerahan Borang A, borang caruman bulanan KWSP melalui CD atau disket atau perbankan elektronik.

Majikan yang pertama kali mahu menggunakan kemudahan itu boleh menghubungi mana-mana 11 bank yang dilantik sebagai ejen KWSP iaitu RHB Bank Berhad, Maybank Berhad, Public Bank Berhad, CIMB Bank Berhad, Hong Leong Bank Berhad, EON Bank, Alliance Bank, Deutsche Bank, Citibank, OCBC Bank dan UOB Bank.

Sementara majikan yang mahu menggunakan CD atau disket boleh menghubungi KWSP di talian 03-7964 8567/7964 8513.

Untuk maklumat lanjut, majikan boleh melayari laman web www.kwsp.gov.my, menghubungi Pusat Panggilan KWSP di talian 03-8922 6000 atau mengunjungi mana-mana pejabat cawangan KWSP. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain