suria

Rakyat Malaysia di Kalimantan Diberi Jaminan Keselamatan

KUCHING: Polis Indonesia telah memberi jaminan rakyat Malaysia yang bertugas atau menetap di Kalimantan Barat akan dilindungi daripada sebarang tindakan agresif gerakan anti-Malaysia di sana.

Konsul Malaysia di Pontianak Mohamad Zairi Mohd Basri berkata, jaminan itu diberi dalam pertemuan beliau dengan pegawai tertinggi polis di Kalimantan Barat yang memberi reaksi positif dalam menangani isu membabitkan hubungan kedua-dua negara ini.

"Alhamdullillah, rakyat Malaysia dalam keadaan selamat dan tiada ancaman serius berlaku...jangan bimbang," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Terdapat kira-kira 200 rakyat Malaysia di Pontianak terdiri daripada pekerja selain ahli perniagaan yang sering berulang alik dari Pontianak ke Malaysia Mengenai sambutan Hari Kebangsaan di pejabat konsulat semalam, Mohamad Zairi berkata, sambutan diadakan secara sederhana tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

Mengenai laporan bahawa rumah seorang jurutera Malaysia telah dilempari batu besar dalam tindakan usir atau "sweeping rakyat Malaysia" oleh sekumpulan lima lelaki di sebuah ladang kelapa sawit di daerah Ketapang, Kalimantan Barat, pada Ahad lalu, beliau berkata, siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui identiti jurutera itu.

"Saya sedang menyiasat perkara tersebut supaya tindakan susulan dapat diambil segera," katanya.

Laporan Bernama dari Jakarta semalam menyatakan dalam insiden pukul 2 petang itu, kumpulan lelaki berkenaan yang memakai pelekat di baju dengan tulisan "Ganyang Malaysia" telah membaling seketul batu besar ke arah jurutera berkenaan yang ketika itu membuka pintu untuk meninjau keadaan setelah mendengar bunyi bising di luar rumah.

Mereka menjerit kata-kata "You Malaysia balik!".

Jurutera berusia 60 tahun itu bagaimanapun sempat menutup pintu banglonya sebelum batu berkenaan menghentam pintu tersebut.

Beberapa anggota polis yang menyedari kejadian itu menghalang kumpulan lelaki berkenaan daripada memanjat pagar rumah tersebut untuk masuk dan melakukan tindakan lebih ganas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain