suria

Tiada Pelatih, Petugas Kem PLKN Junaco Park Dijangkiti Virus Kencing Tikus

KUCHING: Tiada pelatih atau pekerja di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Junaco Park di Sibu dijangkiti virus kencing tikus (leptospirosis) setakat ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

"JLKN akan sentiasa mengambil langkah pencegahan dan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi menentukan kualiti air di kolam-kolam PLKN selamat digunakan pada setiap masa," katanya dalam satu kenyataan di sini Khamis.

Sebagai langkah tambahan, Abdul Hadi berkata atas nasihat Jabatan Kesihatan Sibu, semua aktiviti latihan air di kolam akan dihentikan dan lebih 100,000 anak ikan akan dilepaskan ke kolam tersebut bagi mempercepatkan proses pemulihan kolam.

Beliau berkata JLKN akan mengenal pasti punca sumber air bagi mengelakkan sebarang pencemaran semula dan memindahkan segala punca yang berkemungkinan menyumbang kepada pembiakan bakteria tersebut, termasuk dua ekor kuda, jauh dari sekitar kolam sebagai langkah berjaga-jaga.

"Memandangkan kem PLKN Junaco Park mempunyai banyak kolam, JLKN telah mengambil langkah alternatif dengan melaksanakan latihan air di kolam lain yang tidak dicemari oleh bakteria tersebut dengan khidmat nasihat Jabatan Kesihatan Sibu," katanya.

Semalam Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu dalam satu kenyataan berkata virus itu kini dikesan di dua tempat di Sibu iaitu tasik rekreasi Jalan Permai dan kawasan kolam di kem PLKN Junaco Park.

Pegawai kesihatan bahagian Dr Muhamad Rais Abdullah meminta orang ramai supaya menjauhi kawasan berkenaan dan pejabatnya akan memaklumkan kepada orang ramai sekiranya kedua-dua kawasan itu disahkan selamat untuk dikunjungi nanti.

Leptospirosis mula mendapat perhatian ramai akhir Jun lepas apabila lapan orang meninggal dunia disyaki dijangkiti bakteria melioidosis dan leptospirosis selepas menyertai operasi menyelamat di Lubuk Yu, Maran, Pahang.

Sabtu lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengarahkan setiap pegawai kesihatan daerah mengawal selia kebersihan kawasan rekreasi terutamanya tapak-tapak perkhemahan yang menjadi salah satu punca wabak ini berleluasa di seluruh negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain