suria

10 Pencarum Disabit Kesalahan Menipu Pengeluaran KWSP

KUALA LUMPUR: Seramai 10 pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) didapati bersalah oleh mahkamah atas dakwaan menipu pengeluaran bagi tempoh April hingga Jun lepas.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Nik Affendi Jaafar berkata kesemua mereka dijatuhi hukuman dan didenda dengan seorang daripadanya dikenakan denda maksimum RM10,000.

Dalam tempoh yang sama sejumlah 26 saman telah difailkan di mahkamah bagi kesalahan menipu pengeluaran dan didakwa mengikut Seksyen 59, Akta KWSP 1991 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, katanya dalam satu kenyataan, di sini Khamis.

Beliau berkata kebanyakan kes penipuan membabitkan pencarum yang diperdaya oleh sindiket.

Justeru katanya, pencarum harus lebih berhati-hati dan merujuk kepada KWSP dalam urusan pengeluaran caruman mereka agar tidak diperdaya.

Nik Affendi turut mengingatkan bahawa pencarum yang didapati bersalah menipu pengeluaran akan kehilangan hak untuk mengeluarkan caruman jika mereka gagal mengembalikan wang yang dikeluarkan dalam tempoh enam bulan daripada tarikh sabitan.

Bagi pencarum yang memulangkan wang dalam tempoh itu, mereka hanya dibenar memohon pengeluaran selepas dua tahun daripada tarikh wang tersebut dikembalikan, katanya.

Beliau juga meminta pencarum melaporkan sebarang kegiatan penipuan atau cubaan menipu kepada KWSP dengan menghubungi talian Hotline Anti-Fraud KWSP di 03-26162121 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain