suria

Kerajaan Akan Terus Longgarkan Subsektor Perkhidmatan Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus melonggarkan lebih banyak subsektor perkhidmatan yang akan memberikan impak positif kepada ekonomi Malaysia menjelang akhir tahun, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata kementeriannya kini sedang mengenalpasti sektor-sektor berkenaan dalam usaha menarik pelaburan asing langsung (FDI) ke dalam negara.

"Terdahulu, kita telahpun melonggarkan 27 subsektor perkhidmatan. Kita kini sedang berusaha agar lebih banyak sektor perkhidmatan dibuka dalam tempoh tahun ini," kata beliau kepada pemberita selepas forum mengenai "Model Baru Ekonomi, Rancangan Malaysia Ke-10: Transformasi Ekonomi dan Implikasinya untuk Generasi hari ini di sini, Sabtu.

Forum itu diadakan bersempena dengan Persidangan Pemimpin Pelajar Malaysia Keempat anjuran United Kingdom & Eire untuk para pelajar Malaysia.

Kerajaan pada 22 April, 2009, telah mengumumkan pelonggaran segera subsektor perkhidmatan termasuklah sektor perkhidmatan kewangan dengan tiada syarat ekuiti dikenakan.

Langkah untuk melonggarkan sektor perkhidmatan diambil untuk menarik lebih banyak pelaburan, membawa masuk golongan profesional dan teknologi serta mengukuhkan daya saing sektor.

Mustapa juga berkata yang Malaysia telah bersedia untuk mewujudkan lebih banyak pelaburan dan peluang pekerjaan dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dijangka diumumkan kepada orang ramai dalam tempoh sebulan ini.

ETP ialah tonggak utama di bawah Model Baru Ekonomi, yang akan merangsangkan Malaysia menjadi negara maju dengan keterangkuman dan kemampanan seiring dengan matlamat yang telah ditetapkan dalam Wawasan 2020. - BERNAMA

Artikel Lain