suria

Mayat Remaja Mati Lemas Ditemui

KUALA LUMPUR: Mayat seorang remaja lelaki berumur 13 tahun yang lemas selepas tergelincir ke dalam sebuah parit besar berhampiran Kolam Kumbahan di Bandar Baru Sungai Buloh dekat sini petang semalam ditemui pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata mayat Mohamad Amirul Shafie Zulkifli ditemui sepasukan anggota bomba dan penyelamat pada pukul 12.30 tengah hari.

"Mangsa yang bermain bola bersama tiga lagi rakannya tergelincir apabila cuba mengambil bola yang terjatuh ke dalam parit itu petang semalam," katanya ketika dihubungi Bernama, Isnin.

Beliau berkata tiga lagi rakan mangsa cuba menyelamatkannya tetapi gagal dan hanya mampu melihat mangsa tenggelam sebelum menjerit meminta pertolongan dari orang awam yang berada di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh Mohd Nasir Abd Ghani berkata operasi mencari dan menyelamat melibatkan anggota bomba dari balai bomba dan penyelamat Sungai Buloh, Shah Alam dan Petaling Jaya serta dibantu oleh anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Beliau berkata mayat Mohamad Amirul dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Lain