suria

Bekas Penjaga Gol Singapura Didakwa Subahat Menipu, Pecah Amanah

KUALA LUMPUR: Bekas penjaga gol Singapura didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas lima tuduhan bersubahat melakukan penipuan dan pecah amanah membabitkan nilai RM24 juta.

A.Eswaramoorthy Pillay, 44, didakwa bersubahat dengan bekas pengarah syarikat LFE Corporation Bhd, J.Alan Rajendram, 54, yang telah didakwa di mahkamah sama pada 24 Jun lalu.

Tertuduh yang bertubuh besar dan berkepala botak itu mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Inggeris di hadapan Hakim Rozana Ali Yusoff.

Tertuduh didakwa bersubahat menggunakan wang milik syarikat berjumlah RM9 juta sebagai bayaran pembelian saham sedangkan wang itu yang berada dalam akaun anak syarikat, LFE International Limited bukan untuk kegunaan tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 4 Januari dan 8 Februari 2007 di Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd di Aras 15, Exchange Square, Bukit Kewangan, di sini.

Bagi tuduhan itu, dia turut ditawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 109 yang dibaca bersama Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu bersubahat melakukan pecah amanah terhadap wang itu pada 4 Januari 2007 di tempat sama.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang menetap di negara ini sejak 1992 didakwa bersubahat melakukan pecah amanah wang milik LFE Corporation Berhad berjumlah RM9.99 juta pada antara 11 Januari dan 16 Januari 2007 di Standard Chartered Bank Berhad, Jalan Ampang, di sini.

Baki tiga lagi pertuduhan melibatkan kesalahan menipu di mana tertuduh didakwa bersubahat dengan Chin Soong Jin, 43, menipu EON Bank Bhd bahawa permohonan oleh LFE Engineering Sdn BHd adalah sah sehingga menyebabkan bank itu melepaskan wang berjumlah RM870,000 kepada Contour Trade Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 16 Oktober dan 19 Oktober 2006 di bank tersebut di Jalan Raja Laut, di sini.

Tertuduh juga didakwa mengulangi kesalahan sama antara 17 November dan 28 November 2006 sehingga menyebabkan EON Bank Bhd melepaskan wang RM1.8 juta kepada syarikat Right Meridian.

Dia turut didakwa bersubahat dengan Soong Jin dan Liew Kiam Woon, 47, untuk memperdayakan bank yang sama sehingga mendorong bank melepaskan wang RM1.298 juta kepada Contour Trade.

Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Sekuriti, Choong Long Meng menawarkan jaminan RM1 juta kepada tertuduh dengan syarat tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Peguam Datuk K.Kumaraendran memohon supaya mahkamah mempertimbangkan supaya jaminan tertuduh ditetapkan seperti jaminan Alan Rajendram yang dibenarkan mendeposit RM500,000 daripada jumlah RM1 juta.

“Tertuduh tidak akan melarikan diri memandangkan semua kepentingannya ada di sini, iaitu isteri dan anak-anak yang merupakan warga tempatan dan menetap di Pulau Pinang,” tambahnya.

Rozana membenarkan permohonan itu dan menetapkan penjamin mestilah warga tempatan dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Beliau juga menetapkan 27 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel Berikut

Artikel Lain