suria

LAPORAN KHAS: Pemanasan Sejagat

KUALA LUMPUR: Pemanasan sejagat kini menjadi satu daripada ancaman alam sekitar paling kritikal kurun ke-21.

Meskipun amat membimbangkan, perubahan iklim nampaknya akan menjadi sebagai tetamu yang tidak diundang kerana ia adalah proses penyesuaian semulajadi bumi.

S. Piarapakaran, aktivis alam sekitar menjelaskan bahawa pada hakikatnya bumi terdedah kepada perubahan iklim sejak kewujudannya tetapi ia berlaku secara perlahan-lahan dan membolehkan penghuni bumi menyesuaikan diri dengan perubahan itu.

Kendatipun, jika perubahan iklim berlaku dengan kadar yang pantas, ia tidak akan memberi peluang untuk manusia dan hidupan lain membuat penyesuaian.

Bahang perubahan iklim bumi semakin mula terasa dengan ledakan Revolusi Perindustrian yang bermula dari abad ke-18 hingga ke-19. Perubahan besar begitu ketara dalam bidang pertanian, pembuatan, perlombongan dan pengangkutan.

Pertumbuhan pesat dalam kegiatan manusia menyumbang besar kepada jumlah haba yang diperangkap oleh gas rumah hijau di atmosfera.

"Lama kelamaan, ia mungkin akan memusnahkan kita semua. Semuanya ini adalah angkara manusia. Tatkala bumi menyesuaikan diri dengan perubahan ini, sukar untuk kita menghentikan kesannya secara serta merta. Semua langkah yang kita lakukan sekarang sekadar melindungi kehidupan generasi masa depan," katanya.

MALAYSIA DAN PERUBAHAN IKLIM

Impak perubahan iklim ke atas Malaysia dilaporkan akan berlaku dalam beberapa cara iaitu musim kemarau atau banjir yang melampau, peningkatan paras air laut dan hakisan kawasan pantai.

Dari segi peningkatan suhu, analisis ke atas rekod suhu Malaysia menunjukkan ianya konsisten dengan arah alir pemanasan sejagat.

Secara purata, suhu negara ini telah menambah 1.1 darjah celcius dalam tempoh 50 tahun lepas.

Piarapakaran, Pengurus Kanan (Alam Sekitar, Tenaga & Air) Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) memberitahu Bernama bahawa perubahan iklim negara ini akan juga disertai dengan cuaca melampau yang lain seperti taufan, angin kencang dan cuaca pelik.

Ini sudah dapat dilihat dalam kadar yang kecil di samping insiden terpencil. Bagi beliau, impak seumpama itu tidak dapat dikurangkan memandangkan litupan hutan yang semakin mengecil yang turut menjejaskan alam semula jadi.

"Litupan hutan memperlahankan aliran air hujan ke sungai. Bagaimanapun, proses urbanisasi dan penebangan hutan telah mengganggu proses ini.

"Negeri-negeri seperti Kelantan paling teruk terjejas akibat jenis tanah yang tidak menyerap air sepantas yang perlu. Oleh itu, banjir kerap berlaku.

"Tambahan pula, keadaan akan menjadi lebih teruk sewaktu musim kemarau kerana kehilangan air di kawasan hutan," jelasnya.

LEBIH BANYAK BANJIR

Anthony Tan, Pengarah Eksekutif Pusat Alam Sekitar, Teknologi dan Pembangunan (Cetdem) mengenang banjir besar 2007 yang melanda Johor, Pulau Pinang dan Melaka.

"Banjir besar terakhir melanda Melaka berlaku pada 1971. Ketika itu saya dalam darjah satu. Salah satu kawasan yang dilanda banjir pada 2007 ialah Melaka Sentral, yang sebelumnya adalah sawah padi.

"Apakah banjir itu berpunca dari pemanasan global atau banjir yang berlaku setiap 40 tahun? Ada juga yang berpendapat ia berlaku kerana musim tengkujuh atau perantaraan musim tengkujuh," katanya.

Tan bagaimanapun berkata sejak kebelakangan ini, tiada tempoh yang jelas untuk musim hujan dan musim kemarau di Malaysia.

Bagi beliau, keadaan itu adalah penunjuk perubahan iklim, sambil merujuk juga kepada banjir kilat yang berlaku setiap kali hujan lebat melanda negara ini.

DASAR PERUBAHAN IKLIM

Tan yang menyifatkan dirinya sebagai ahli alam sekitar yang praktikal turut mengulas pendirian serius kerajaan Malaysia mengenai isu-isu perubahan iklim.

"Perdana Menteri kita membuat kenyataan di Persidangan Perubahan Iklim PBB di Copenhagen tahun lalu dan membuat ikrar akan mengurangkan pelepasan ketumpatan sebanyak 40 peratus.

"Bagaimanapun ianya masih berkait rapat dengan penjanaan tenaga. Bagaimana hendak menterjemahkannya kepada dasar kerajaan dan bagaimana sektor industri dan perniagaan akan bertindak? Bagaimana juga pembabitan rakyat? " soal beliau.

Tan berpendapat, apa yang perlu kerajaan lakukan sekarang ialah untuk berganding bahu dengan pertubuhan bukan kerajaan seperti Cetdem dalam melaksanakan program yang lebih jitu.

"Ia bukan sekadar mencetuskan kesedaran tetapi juga menunjukkan kepada rakyat tindakan praktikal yang boleh mereka lakukan untuk menangani perubahan iklim," katanya.

Menurut Tan lagi, beliau mendapat tahu pihak kerajaan sedang menyiapkan dasar perubahan iklim dan ia akan dibentangkan kepada kabinet tidak lama lagi.

"Mengadakan dasar ini adalah satu permulaan yang baik. Ia menyeluruh dan bukan sahaja membabitkan sebuah kementerian untuk menjadi peneraju tetapi semua kementerian difahamkan mempunyai peranan masing-masing," kata Tan.

PANDANGAN YANG BERUBAH

Satu lagi perkembangan positif ialah tanggapan masyarakat umum di negara ini mengenai isu perubahan iklim berbanding di awal milennium.

Tan berkata ketika itu tidak ramai yang berminat untuk mendengar ceramah perubahan iklim walaupun diadakan secara percuma.

"Nak dapat 50 orang pun susah tetapi sekarang semakin ramai yang mula menghargai isu ini.

"Setiap kali saya memberi ceramah saya dapat lihat rasa terkejut yang terpancar di wajah peserta. Baru mereka sedar yang mereka juga turut menyumbang kepada perubahan iklim.

"Satu daripada perkara yang saya beritahu mereka ialah untuk setiap satu jam kilowat elektrik yang digunakan di Semenanjung Malaysia, ini bersamaan dengan melepaskan sekilogram karbon dioksida di stesen janakuasa.

"Bagi setiap liter disel atau petrol yang digunakan, anda melepaskan dua setengah kilogram karbon dioksida. Jadi jika anda memandu dan katakan anda menggunakan 200 liter sebulan, anda sebenarnya menyumbang 500 kilogram karbon dioksida," kata Tan.

"Jika penyumbang tertinggi gas rumah hijau ialah bahan bakar, jadi bukankah kita perlu mencari jalan untuk mengurangkan penggunaan peribadi dan mula lebih menggunakan pengangkutan awam," kata Tan.

PENGGUNAAN MAPAN

Bagi Piarapakaran, yang juga Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM), pengeluaran dan penggunaan mapan (SCP) perlu ditimbangkan sebagai sebahagian daripada penyelesaian penyesuaian kepada perubahan iklim. Menurut beliau, kebanyakan proses pengilangan di Malaysia hanya membabitkan penghasilan, proses, membuat, mengguna dan membuang. Ini, katanya proses linear.

"Ini bukannya cara mapan menggunakan apa juga sumber. Kita akan hanya mengguna dan menghabiskan tanpa menyimpan atau menambah.

"Proses mapan membabitkan kitaran iaitu pengurangan bahan, pengoptimuman, penggunaan semula atau mengitar semula termasuk sisa buangan.

"Inisiatif mudah ini boleh membantu mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah terus dari persekitaran," tegasnya.

Ketika marcapada bergelut dengan bahang pemanasan sejagat, rakyat Malaysia perlu juga bingkas mengamalkan cara hidup yang mesra alam.

Kita sebenarnya tidak perlu pergi jauh. Kita boleh menjadikan leluhur kita sebagai contoh teladan. Mereka telah hidup dalam keadaan penuh kesederhanaan dan menghormati serta menghargai alamiah.

"Kita bukan meminta rakyat Malaysia membuat pilihan tinggal di atas pokok atau di dalam gua. Kita hanya mahu mereka buat perubahan mudah dalam tingkah laku mereka. Lakukan perkara-perkara mudah seperti mengurangkan penggunaan bahan bakar dengan menjadi cekap tenaga.

"Mengamalkan prinsip mengurang, mengguna semula dan kitar semula (3R) dalam dalam pengurusan sisa buangan, beli apa yang perlu sahaja, lebih kerap menggunakan pengangkutan awam atau berkongsi kenderaan, menuai air hujan dan banyak lagi perkara yang boleh dilakukan.

"Dengan membuat perkara-perkara mudah ini, 28 juta rakyat Malaysia boleh melakuan kelainan. Saya yakin dengan kemampuan mereka. Saya yakin Malaysia Boleh!" kata Piarapakaran. - BERNAMA.

* Artikel sebanyak enam siri ini merungkai beberapa isu alam sekitar seperti pemanasan sejagat, kepentingan air, sistem ekologi, kepelbagaian biologi dan Ekonomi Hijau. Ini bahagian pertama daripada enam siri.

Artikel Lain