suria

Bekas Presiden Minta Anggota PPP Sokong Peralihan Kuasa 2014

KUALA LUMPUR: Bekas presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Senator (B) S.I.Rajah menyifatkan hasrat Datuk M.Kayveas mengundur diri sebagai berani dan meminta anggota parti itu menyokong peralihan kuasa yang dijangka berlaku pada 2014.

Beliau juga berkata Kayveas, yang memegang jawatan presiden PPP sejak 1993, telah menunjukkan prestasi cemerlang dan membanggakan.

"Beliau telah membawa parti tersebut ke satu tahap yang membanggakan di mana beliau telah berjaya menarik ramai ahli mengikut parti ini dari seluruh pelosok negara.

"Beliau menjalankan tugas melebihi dari apa yang yang saya jangkakan dan telah menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan dalam pimpinan beliau," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Semalam, Kayveas telah membayangkan untuk meletakkan jawatan pada 2014 bagi memberi kepada muka baru yang lebih muda dan mampu membawa budaya baru dalam parti pada konvensyen parti itu di Subang Jaya.

Rajah, seorang peguam, berkata keputusan Kayveas harus dihormati.

"Saya menghormati keputusan beliau dan di saat-saat begini, saya tidak akan meminta sebarang jawatan dalam parti tetapi akan menawarkan bantuan yang diperlukan parti sebagaimana yang diharapkan," katanya.

Rajah menjadi presiden PPP dari 1978 hingga 1982 sebelum melepaskan jawatan ekoran pergolakan dalaman parti tersebut dan dilantik sebagai pemangku presiden dari 1987 hingga 1993.

PPP diasaskan oleh adik-beradik Dr Seenivasagam dan Datuk Sri P. Seenivasagam pada 1953 di Perak setelah mendapat persetujuan Menteri Besarnya ketika itu, Datuk Onn Jaafar dan pentadbiran British bagi melibatkan diri dalam bidang politik.

Parti itu mempunyai keanggotaan sebanyak 500,000 dengan 3,000 cawangan di seluruh negara. - BERNAMA

Artikel Lain