suria

Tiga Beradik Terkorban Setelah Rumah Terbakar Di Papar

PAPAR: Tiga beradik terkorban setelah rumah mereka di Kampung Pulau Sapat dekat sini terbakar kira-kira 8.30 malam semalam.

Ketiga-tiga beradik yang maut itu ialah Reshal Rijus, 8, dan dua adik perempuannya, Norshelyana, 6, dan Norallayana, 2.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Papar, Hamid Sami berkata, rumah tersebut memang tidak mempunyai bekalan elektrik dan penghuninya menggunakan lampu pelita.

"Ketika kejadian juga, kami difahamkan ketiga-tiga beradik itu tinggal bersendirian dan tidak diawasi orang tua," katanya.

Beliau berkata, sembilan anggota dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat daerah Papar tiba di lokasi kira-kira lima minit selepas dihubungi dan berjaya mengawal kebakaran kira-kira 9.30 malam.

Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan.

"Ibu pejabat bomba Sabah telah mengambil sampel daripada kebakaran untuk siasatan, jadi mungkin kena tunggu dua atau tiga hari untuk mengetahui punca kebakaran," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain