suria

Lawatan Rasmi Ke Kemboja Berjaya, Kata Najib

PHNOM PENH: Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan lawatannya ke Kemboja sebagai berjaya selepas urus niaga perniagaan hampir RM500 juta dirundingkan.

Perdana Menteri berkata 196 pertemuan perniagaan telah diadakan antara para pelabur dan ahli perniagaan Malaysia dan rakan Kemboja mereka semasa lawatan itu.

Nilai perniagaan yang dirundingkan mereka berjumlah AS$136.6 juta, katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh sebelum berlepas ke Kuala Lumpur.

Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berlepas dari lapangan terbang antarabangsa itu pada jam 11.00 pagi (waktu Malaysia: 12 tengah hari) dan dijadual tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 2.30 petang (waktu Malaysia).

Katanya jumlah besar yang terlibat di dalam perundingan perniagaan itu semasa lawatannya itu adalah petunjuk yang baik bahawa Malaysia boleh mengekalkan kedudukannya sebagai antara pelabur terbesar di negara itu.

Najib berkata pemulihan krisis ekonomi global akan turut menyumbang kepada peningkatan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara.

Katanya komuniti perniagaan perlu mengambil kesempatan daripada hubungan mesra antara kedua-dua negara serta antara para pemimpinnya.

"Kerajaan Kemboja dan rakyatnya mempunyai sentimen yang sangat positif terhadap Malaysia," katanya.

Selain itu, hubungan dua hala yang terjalin sejak sekian lama dan tambahan pula dengan peranan Malaysia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semasa tempoh peralihan di negara itu pada awal 1990-an selepas perang saudara telah menyumbang kepada sentimen positif terhadap Malaysia.

Beliau merasa optimis bahawa hubungan baik semasa boleh dipertingkatkan lagi.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Najib ke negara ini selepas menjawat jawatan Perdana Menteri pada April tahun lepas.

Najib berkata rakan sejawatannya Hun Sen dijangka melawat Malaysia pada awal tahun depan.

Najib menakhiri lawatan hari terakhirnya dengan mengunjungi Raja Norodom Sihamoni di Istana Diraja di sini.

"Raja Norodom melahirkan sentimen mesranya terhadap Malaysia," katanya.

Perdana Menteri juga mengunjungi Presiden Parlimen Heng Samrin di Parlimen dan Presiden Senat Chea Sim di Bangunan Senat hari ini.

Semalam, Najib telah mengadakan pertemuan dengan Hun Sen pada Majlis Menteri-Menteri dan kedua-dua pemimpin itu kemudian berucap pada Forum Perniagaan Kemboja-Malaysia.

Najib turut melawat pusat operasi telekomunikasi Malaysia, Hello Axiata, dan kompleks baharu Kedutaan Malaysia yang sedang dibina di sini.

Rosmah telah menghadiri majlis berasingan semalam dengan melawat Hospital Kuntha Bopha IV dan Sekolah Tinggi Bun Rany Hun Sen di sini.

Pasangan pelawat itu telah diraikan pada majlis makan malam yang dihoskan oleh Hun Sen dan isterinya, Bun Rany di sebuah hotel di sini malam semalam. - BERNAMA

Artikel Lain