suria

KWSP Rancang Tingkatkan Pelaburan Di Seberang Laut

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merancang untuk meningkatkan pelaburan seberang lautnya kepada 10 peratus dalam tempoh satu hingga dua tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Azlan Zainol berkata fokusnya ialah untuk terus melabur dalam ekuiti syarikat-syarikat penyenaraian awam.

Pelaburan seberang laut KWSP pada masa ini ialah kira-kira enam hingga tujuh peratus, kata beliau dalam sidang akhbar selepas perasmian Seminar Teknikal tiga hari mengenai Prestasi Tinggi dalam Keselamatan Sosial anjuran Persatuan Kesematan Sosial Antarabangsa (ISSA) dan KWSP.

"Kami akan meningkatkan pelaburan di Eropah, Amerika Syarikat, Australia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Asia Tenggara di mana kami telahpun sedia ada di sana," kata Azlan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata bank-bank secara umumnya terbuka kepada skim baharu untuk menggunakan baki Akaun Kedua ahli sebagai asas untuk mendapatkan pinjaman yang tinggi.

"Seseorang ahli itu, berdasarkan kepada gaji yang dibawa pulang, mungkin tidak layak untuk pinjaman yang lebih tinggi bagi membeli hartanah kedua.

"Tetapi jika bank berkenaan mempunyai akses ke Akaun Kedua ahli, yang mungkin menunjukkan baki yang tinggi, ia boleh mendorongnya untuk meluluskan pinjaman yang tinggi.

"Secara umumnya, ini membantu menyokong permohonan untuk pinjaman yang tinggi atau meningkatkan kelayakan pinjaman," jelas beliau.

Menjelaskan lagi, Azlan berkata bank-bank pada masa ini mengendalikan ketekunan wajar ke atas skim baharu itu dan diharapkan, ia akan dimuktamadkan tahun ini.

KWSP mempunyai sejumlah 12.4 juta ahli di mana 5.8 juta adalah ahli aktif dengan jumlah aset pada masa ini ialah AS$108 bilion.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin yang merasmikan seminar itu berkata, terdapatnya keperluan segera bagi keselamatan sosial atau sistem pencen hari ini agar sentiasa peka pada setiap masa.

"Penggunaan pakai adalah penting walaupun model operasi lama telah terbukti berjaya sejak beberapa tahun lepas," kata beliau dalam ucapan pembukaannya.

Awang Adek berkata ini juga akan memastikan pesara terus mendapat manfaat pendapatan pesaraan yang cukup, mampu, mampan dan menggalakkan. -BERNAMA

Artikel Lain