suria

Pembantu Khas MB Johor Terima SMS Berbaur Ugutan

JOHOR BAHARU: Pembantu Khas kepada Menteri Besar Johor, Low Teh Hian membuat laporan polis selepas menerima satu kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan, pagi ini.

Low, 60, ketika dihubungi, berkata laporan polis dibuat di Balai Polis Sentral di sini pada pukul 12.45 tengah hari selepas menerima SMS berkenaan pada pukul 11.40 pagi.

Katanya SMS dalam bahasa Mandarin itu tertera perkataan "peluru tidak bermata" dan memintanya memasukkan wang sebanyak RM1,000 ke dalam sebuah nombor akaun bank, sekiranya mahukan keluarganya selamat.

"Kiriman SMS itu diterima ketika saya sedang mengikuti perarakan chingay di Jalan Tun Abdul Razak berhampiran pusat beli belah Danga City Mall, di sini," kata bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Rinting itu.

Low berkata beliau tidak menerima sebarang ugutan sebelum ini dan mengakui agak terkejut serta takut apabila menerima kiriman SMS berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, ACP Zainuddin Yaacob, ketika dihubungi. mengesahkan menerima laporan daripada Low dan akan menjalankan siasatan lanjut. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain