suria

PBSM Kutip Dana Bantu Mangsa Gempa Haiti

KUALA LUMPUR: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) akan mula mengutip dana daripada orang ramai untuk membantu mangsa gempa bumi di Haiti.

Pengurus Komunikasi PBSM, Suhana Mohamed Salleh berkata, ia sebagai tindak balas awal terhadap rayuan bantuan kecemasan berjumlah 10 juta dolar Amerika yang dibuat oleh Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) berpengkalan di Geneva.

Suhana yang dihubungi hari ini berkata, dana yang dikumpul itu akan disalurkan terus kepada IFRC yang kemudiannya akan diberikan kepada Pertubuhan Kebangsaan Palang Merah Haiti.

Menurutnya, 10 juta dolar Amerika itu bagi operasi bantuan kecemasan untuk tempoh sembilan bulan di negara kepulauan Caribbean itu yang mempunyai 9.7 juta penduduk yang terjejas teruk selepas dilanda gempa bumi kuat minggu ini.

Dana itu untuk membantu 100,000 penduduk daripada 20,000 keluarga di Haiti, salah sebuah negara termiskin di dunia.

Pertubuhan Palang Merah Haiti percaya 45,000 ke 50,000 orang terkorban dan lebih tiga juta orang cedera atau kehilangan tempat tinggal akibat daripada gempa bumi itu.

PBSM boleh dihubungi menerusi talian 03-42578122. - BERNAMA

Artikel Sebelum

YWP Bantu 161 Pelajar Miskin

Artikel Lain