suria

Nelayan Bisu Hilang Ketika Keluar Ke Laut

KUALA TERENGGANU: Seorang nelayan yang bisu hilang ketika keluar untuk mengangkat bubu di perairan Kerteh, Kemaman pagi semalam dan masih belum ditemui sehingga petang ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Gelugur, Kerteh, Wan Engah Makhtar berkata, Abdul Rahman Ismail,52, yang bisu sejak lahir keluar ke laut kira-kira pukul 6.30 pagi semalam bersama-sama abangnya Abu Bakar, 56 yang juga bisu dengan menaiki bot yang berasingan.

"Masing-masing menuju ke lokasi yang berasingan dan mangsa menaiki bot kayunya untuk mengangkat bubu kira-kira dua kilometer dari pantai Awana Resort, Kerteh. "Bagaimanapun sehingga lewat petang semalam, beliau masih tidak pulang-pulang ke rumahnya di Kampung Gelugur," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan keluarga Abdul Rahman bimbang kerana kebiasaannya mangsa tidak pernah pulang lewat dari pukul 2 petang jika keluar mengangkat bubu.

Katanya, kebimbangan keluarga tersebut ditambah lagi dengan keadaan laut yang agak bergelora semalam.

Kehilangan Abdul Rahman disedari oleh seorang peraih yang kebiasaannya membeli hasil tangkapannya yang kemudian bertindak melaporkan perkara itu kepadanya.

Sebaik menerima aduan itu, Engah berkata beliau telah meminta bantuan nelayan-nelayan tempatan supaya mencari Abu Bakar di pengkalan dan di rumahnya namun gagal, lalu membuat laporan polis.

Engah berkata gerakan mencari Abu Bakar dilancarkan serta merta oleh pasukan Marin Polis dan bot-bot nelayan tempatan namun gagal kerana keadaan gelap dan laut bergelora.

Katanya gerakan mencari Abu Bakar diteruskan lagi hari ini dengan bantuan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Polis Marin serta bot-bot nelayan tempatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain