Permohonan Jazimin Pinda Pernyataan Tuntutan Didengar Rabu Depan - Semasa | mStar

Permohonan Jazimin Pinda Pernyataan Tuntutan Didengar Rabu Depan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini akan mendengar pada Rabu depan permohonan Jazimin Abdul Jalil, bapa kanak-kanak yang diculik dan dibunuh, Nurin Jazlin, bagi meminda pernyataan tuntutannya untuk turut menamakan Lans Koperal Amran Arifin sebagai defendan dalam kes saman itu.

Tarikh itu ditetapkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Wan Nor Salina Wan Abdullah dalam kamarnya selepas perkara itu dikemukakan di hadapannya untuk sebutan hari ini.

Ini berikutan pengakuan oleh defendan dalam kes saman itu, Ketua Polis Negara, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Petaling Jaya dan kerajaan Malaysia dalam pernyataan pembelaan mereka bahawa gambar-gambar bedah siasat Nurin diedarkan oleh Amran.

Jazimin, 35, seorang pekerja di syarikat keselamatan, mengambil tindakan undang-undang terhadap defendan atas dakwaan cuai berikutan pengedaran gambar-gambar bedah siasat anak perempuannya itu dalam internet.

Beliau memohon ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk, faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah dengan mendakwa gambar-gambar berkenaan bersifat sulit serta peribadi dan bukan untuk tatapan umum tetapi hanya untuk tujuan penyiasatan kes Nurin.

Nurin Jazlin, 8, hilang pada 20 Ogos 2007 selepas pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini.

Mayatnya ditemui dalam sebuah beg sukan 27 hari kemudian di hadapan sebuah kedai di Jalan PJS 1/48, Petaling Jaya. Laporan bedah siasat mendedahkan bahawa dia didera secara seksual.

Pada 13 Mei lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Jazimin supaya kes kes saman itu diselesaikan dengan cepat melalui penentuan persoalan undang-undang selepas memutuskan bahawa perkara itu mesti ditentukan menerusi perbicaraan penuh.

Peguam Akbardin Abdul Kader mewakili Jazimin manakala pendakwaan dijalankan oleh Peguam Kanan Persekutuan Zureen Mohd Dom. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

PM Doa Malaysia Juarai Bola Sepak Sukan SEA

Artikel Berkaitan

default image

Harga Gula Naik 20sen

Klik

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain