suria

Kota Kinabalu Bakal Punyai 2,296 Katil Hospital Pada 2012

KOTA KINABALU: Katil Hospital di Kota Kinabalu dijangka bertambah kepada 2,296 katil menjelang 2012 berbanding 1,060 katil pada masa ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ini akan memberikan nisbah yang lebih baik iaitu satu katil untuk 348 orang (1:348), lebih rendah daripada nisbah kebangsaan iaitu satu katil untuk 530 orang.

Pada masa ini, kadar nisbah daerah yang mempunyai kira-kira 500,000 populasi itu ialah 1:754, iaitu lebih tinggi daripada purata nisbah negara.

"Walaupun terdapat pertambahan penduduk di KK dalam tempoh dua tahun akan datang, nisbah itu masih rendah daripada kadar nisbah negara," katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Queen Elizabeth II (sebelum ini dikenali sebagai SMC) di sini, hari ini.

Pertambahan katil itu termasuk pertambahan 284 katil di Hospital Queen Elizabeth II (QEH II) berikutan kerja menaiktaraf hospital itu yang dijangka bermula tahun depan dan pertambahan 200 katil di Hospital Likas menjelang akhir tahun depan.

"Kita juga telah meluluskan cadangan membina 'twin tower' (menara kembar) di QEH, yang akan melihat tambahan 661 katil. Kita akan mula ambil tender awal tahun depan," katanya.

Tender untuk pembinaan menara kembar itu juga akan termasuk kerja merobohkan blok bangunan yang telah disahkan tidak selamat.

Mengenai QEH II, Liow berkata, kerja menaiktaraf bernilai RM90 juta yang dijangka mengambil masa lapan bulan itu, termasuk mewujudkan Pusat Jantung Sabah yang bakal menyediakan kemudahan pembedahan untuk pesakit jantung di negeri ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditemui Mati Dibunuh

Artikel Berikut

Artikel Lain