suria

10 Ditahan Positif Dadah Di Plaza Tol Kesas

KUALA LUMPUR: Seramai 10 lelaki ditahan kerana positif dadah dalam operasi bersepadu membabitkan lapan agensi kerajaan di plaza tol Kesas menghala ke Klang, di sini semalam.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Lumpur S. Chandrasekar berkata sehingga pukul 10.30 malam tadi, seramai 79 pemandu kenderaan dan penunggang motosikal telah diperiksa dan diarahkan menjalani ujian air kencing.

"Pemeriksaan AADK mendapati seramai 10 orang positif dadah termasuk dua lelaki yang dikesan masih dalam proses rawatan. Kesemua mereka yang ditahan berumur antara 18 hingga 50 tahun," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata mereka yang disahkan sebagai penagih dadah akan dikenakan tindakan di bawah Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 iaitu diperintahkan menjalani rawatan dan pemulihan selama tempoh dua tahun atau menjalani pengawasan dalam komuniti yang ditetapkan selama dua tahun.

Operasi bermula pukul 5.30 petang yang diketuai oleh AADK itu, turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ikatan Relawan Rakyat (RELA), Jabatan Alam Sekitar (JAs) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

Dalam operasi itu juga JPJ telah memeriksa sebanyak 230 kenderaan dan sebanyak 112 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

Sementara itu, JKJR turut mengedarkan 30 unit topi keledar kepada penunggang motosikal, selain 1,000 keping pelekat VEM (pantulan cahaya) dan 1,000 keping peringatan had laju bagi memberi kesedaran kepada pemandu dan penunggang tentang pentingnya menjaga keselamatan di jalan raya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Tak Boleh Tok Guru...Tak Boleh!

Artikel Berikut

Artikel Lain