suria

Cubaan 18 pendatang masuk ke Sandakan digagalkan

SANDAKAN: Polis Gerakan Marin (PGM) berjaya menahan 18 pendatang asing tanpa izin yang cuba masuk ke negara ini melalui perairan Sandakan dalam dua operasi di sini semalam.

Pegawai Pemerintah PGM Sandakan ASP Muhammad Sallam Spawi berkata pendatang asing warga Filipina yang ditahan itu terdiri 12 lelaki dan enam wanita berusia di antara 14 hingga 30 tahun.

Katanya 12 lelaki itu ditahan selepas dua bot yang mereka naiki ditahan oleh polis marin di perairan berhampiran Pulau Nunuyan pada pukul 12.20 pagi.

Enam lagi wanita ditahan dalam satu lagi operasi berasingan pada pukul 6.15 pagi selepas bot yang mereka naiki ditahan di sungai Batu 3, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau pendatang asing terbabit dipercayai bertolak dari pulau di Filipina yang terletak dengan sempadan perairan negara itu dengan Malaysia.

Muhammad Sallam berkata kesemua mereka kini ditahan mengikut Seksen 6 (1) Akta Imigresen 1959/1963 kerana masuk ke negara ini tanpa dokumen yang sah.

Beliau berkata kejayaan menahan pendatang asing terbabit dicapai melalui pelaksanaan Ops Octopus bagi membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin ke negeri ini melalui perairan Sandakan.

Katanya operasi ditumpukan di beberapa kawasan yang dikenal pasti menjadi laluan dan lokasi menurunkan pendatang asing apabila mereka memasuki perairan Sandakan. BERNAMA

Artikel Lain