suria

Isa mampu kekalkan penguasaan BN di Bagan Pinang

KUALA LUMPUR: Pemilihan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang 11 Okt depan akan memberi peluang kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu membuktikan dirinya tetap seorang ahli politik yang berwibawa.

Selepas beberapa tahun "menyepi" daripada politik, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun sejak 1982 itu juga bakal memikul tugas besar untuk menonjolkan keunggulan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam senario politik negara.

Ada pemerhati politik menyifatkan Bagan Pinang sebagai "talian hayat" kepada BN selepas hanya menang satu daripada lapan pilihan raya kecil sejak pilihan raya umum ke12 pada 8 Mac tahun lepas.

Jika dikira pertembungan antara Umno dan PAS ini adalah pilihan raya kecil kelima dihadapi kedua-dua parti berseteru itu, dengan Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Manik Urai dan Permatang Pasir memihak pada PAS.

"Pemilihan Isa menunjukkan Umno mahu memastikan kemenangan BN dengan sokongan dari akar umbi parti itu.

"Dilemanya cuma bagaimana BN mahu menghadapi persepsi negatif orang luar Bagan Pinang tentang pemilihan Isa yang pernah disabitkan dengan politik wang," kata penganalisis politik Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia.

Ternyata pemilihan Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang itu yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, hari ini tidak mengejutkan walaupun ada suara-suara mengatakan ianya mungkin menjadi liabiliti kepada UMNO.

Ini berdasarkan kecenderungan pakatan parti DAPPKRPAS yang menggunakan taktik serangan peribadi bagi mengalahkan BN seperti yang berlaku di Permatang Pasir.

Isa yang juga bekas Naib Presiden Umno sebelum ini disabit dengan politik wang pada 2004 dan digantung keahlian sehingga Jun tahun lepas. Beliau cuba kembali aktif tetapi gagal dalam usaha bertanding jawatan naib presiden pada pemilihan Umno awal tahun ini.

Desakan supaya Isa dipilih menjadi calon bagi pilihan raya di Bagan Pinang begitu kuat dan tidak dapat disembunyikan apabila mesyuarat Umno Bahagian Teluk Kemang pada 10 Sept lepas menyatakan sokongan sebulat suara kepada ketuanya itu.

"Pengekalan Tan Sri Isa sebagai Ketua Umno Teluk Kemang selepas beliau dihukum menunjukkan anggota Umno masih menerima dan menyokongnya.

"Malah ada juga yang menyifatkan hukuman yang dikenakan kepada Isa adalah satu penganiayaan kepadanya semasa kepimpinan parti yang lepas," kata penganalisis politik Prof Dr Ahmad Atory Hussein.

Difahamkan pucuk pimpinan BN menerima tiga nama calon Bagan Pinang termasuk Naib Ketua Pemuda Umno Teluk Kemang, Mohd Najib, 31, yang juga anak lelaki Isa.

Bagi pemerhati politik, Prof Madya Dr Mohamad Agus Yussof, Mohd Najib tidak dipilih mungkin kerana faktor usia, pengalaman kurang selain langkah awal BN bagi mengatasi serangan lawan.

"Jika anak Tan Sri Isa dipilih menjadi calon, rakyat mungkin menilainya sebagai kronisme. Itu suatu yang tidak baik buat BN pada ketika ini," kata Mohamad Agus.

Kerusi Bagan Pinang dimenangi BN dengan majoriti 2,333 undi pada pilihan raya umum lepas kosong ekoran kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor pada 4 Sept lepas.

Namun sepertimana kata Prof Atory, apa yang pasti Bagan Pinang yang mempunyai 13,644 pengundi termasuk 4,604 pengundi pos akan menguji sejauh mana kewibawaan individu itu mengatasi persepsi negatif terhadapnya selain kini berkisar kepada soal majoriti undi.

"Ukurannya kini pada majoriti. Bolehkan Umno mengekalkan majoritinya atau mampukah PAS mengurangkannya sepertimana kejayaan Umno mengurangkan majoriti PAS di (pilihan raya kecil) Manik Urai lepas," kata penganalisis politik itu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain