suria

Pengawal keselamatan maut bergelut dengan perompak

KLANG: Seorang pengawal keselamatan warga tempatan dibunuh dengan kejam selepas bergelut dengan tiga warga asing yang cuba merompak sebuah kilang kitar semula di Jalan Perajurit, Teluk Gong di sini, semalam.

Dalam kejadian antara pukul 1.30 pagi hingga 4.30 pagi itu, mangsa, Suresh Ramachandran, 36, mati di tempat kejadian selepas lehernya dijerut dengan wayar, ditikam di perut dan dikelar di muka.

Ketua Polis Daerah Klang ACP Mohamad Mat Yusof berkata siasatan awal mendapati tiga penjenayah warga asing itu pada mulanya memecah masuk kilang kitar semula pakaian yang terletak bertentangan dengan kilang tempat kerja mangsa.

Beliau berkata tiga penjenayah terbabit tidak mencederakan pengawal keselamatan di kilang itu kerana tidak melawan dan hanya mengikat lelaki India itu.

Mohamad berkata selepas menggeledah kilang pertama itu, tiga penjenayah warga asing itu terus pergi memecah masuk ke tempat kerja mangsa.

"Mangsa yang menyedari kehadiran tiga penjenayah itu cuba melawan dan malangnya dia dibunuh selepas lehernya dijerut dengan wayar, perutnya ditikam dan mukanya dikelar.

"Tiga penjenayah kemudian menggeledah pejabat pentadbiran kilang tetapi gagal membuka peti besi dan hanya sempat melarikan dua komputer," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini.

Mohamad berkata selepas tiga penjenayah itu melarikan diri, pengawal keselamatan di kilang yang pertama berjaya melepaskan diri dan membuat laporan polis kira-kira pukul 5.30 pagi tadi.

Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk bedah siasat dan pihaknya giat menjalankan operasi memburu tiga suspek itu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain