suria

Liu masih belum dipanggil polis atau SPRM

SHAH ALAM: Exco kerajaan Selangor, Ronnie Liu berkata beliau masih belum dipanggil oleh polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan adat Exco negeri ini menggunakan pejabatnya untuk mengadakan mesyuarat dengan mereka yang dikaitkan dengan perniagaan haram.

"Polis masih tidak soal saya lagi, SPRM pun setakat ini tiada ada lagi (soal saya)...semua tidak ada," katanya ketika ditanya pemberita mengenai perkembangan isu itu di sini hari ini.

Minggu lepas, Anggota Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong menulis dalam blognya weechookeong.wordpress.com bahawa beliau menerima banyak aduan daripada anggota pakatan pembangkang dan golongan peniaga di Selangor, pejabat seorang anggota Exco telah dan sedang digunakan sebagai tempat bermesyuarat bagi mereka yang dikatakan mempunyai kaitan dengan peniagaan haram dan aktiviti yang boleh dipersoalkan.

Liu berkata kedua-dua pihak berkuasa itu tidak mempunyai asas untuk memanggil beliau untuk memberi keterangan.

Katanya, beliau bersedia untuk dipanggil pihak berkuasa pada bila-bila masa dan tidak takut berikutan beliau tidak membuat sebarang kesalahan.

"Kita tak buat benda itu jadi apa kita takut. Kita satu sen pun tidak ambil daripada rakyat, peruntukan pun kita tidak ambil komisen," katanya.

Beliau berkata, jika sesiapa mahu mengetahui di mana peruntukan yang disalurkan melalui beliau oleh kerajaan Selangor, mereka boleh berbuat demikian dalam blognya, www.colourblind.org yang menyenaraikan setiap peruntukan yang disalurkannya kepada rakyat. BERNAMA

Artikel Lain